Friday, December 3, 2010

Kasih Ibu





" Gembiranya hari ni...dapat balik rumah, mesti mak aku tak sabar tunggu kepulanganku. Nanti boleh makan masakan emak puas-puas. " Kata teman dengan penuh girang.

Tangannya lincah mengemas barang. Senyuman meleret tidak lekang di bibir. Hati tumpang gembira melihat keletah si teman. Mulut becoknya tidak berhenti-henti bercakap. Melahirkan rasa terujanya.

Aku rindu saat-saat begitu. Terbayang dibenak fikiran, wajah kedua ibu bapa yang setia menanti di depan pintu. Menunggu saat kepulangan anakanda tercinta. Diiringi tangisan dan linangan air mata gembira. Disambut mesra ayah dan emak dengan pelukan yang erat seolah-olah tidak mengizinkan anaknya pergi lagi. Sayu menusuk ke sanubari.

" Bila ko balik kampung ? " tanya si teman menghilangkan rasa sunyi yang bertandang.

"Entah la, aku pun tak tau bila nak balik. Tak ada arah tujuan ni. Nak balik kampung, mak aku pun tak de dekat sana. Keluhan ku lepaskan perlahan-lahan.

" Habis tu ? "

" Nantilah aku fikirkan, nak ke mana. Aku tak suka duduk rumah orang. Lagi-lagi tinggal lama-lama. Aku rindulah nak rasa macam dulu. "

" Rasa macam mana? "

"Rasa macam kau la, balik kampung. Habiskan cuti bersama mak dan abah. Makan masakan mak. Tolong Abah berniaga di warung burger . Rindunya..."

" Sabarlah, setiap yang hidup itu pasti akan pergi. Sedekahkan Al-Fatihah dekat arwah. Banyakkan baca Al-Quran. Semoga mak ko sentiasa sihat dan dipanjangkan umur ".

Amin Ya Allah, semoga kau kabulkan doa sahabatku ini. Memang itu yang aku harapkan. Semoga arwah Abah di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.


..................................................................................................................

Wajah mak muncul, melihatkan wajah tuanya. Wanita yang sangat aku kagumi. Seorang penyabar, rajin, pandai memasak dan sangat penyayang. Mak seorang yang sangat kuat berkerja. Pernah suatu masa mak sibuk, sampai lupa nak makan. Mak sibuk kerana kami. Sibuk mencari rezeki, mengerah tulang empat keratnya. Seawal pagi mak sudah bersiap sedia di dapur memasak kuih untuk dijual di warung abah. Jarang benar juadahnya tidak habis. Tambahan pula jika bulan puasa menjelma.

Mak...kau wanita yang hebat. Walaupun dirimu lemah lembut namun tegas dalam mendidik. Mak tidak suka melihat anaknya susah, lantaran itu semua kerja mak yang lakukan sendirian. Mak, aku kesal dengan diriku. Aku tidak mampu menjadi anak yang baik. Jika kau masih dikurniakan upaya dan kesihatan yang baik, aku akan pastikan kau tidak melakukan sebarang pekerjaan pun. Biarlah dirimu bersenang lenang pula kerna kau telah puas berasa letih sepanjang hidupmu.


Mak seorang yang tidak banyak bercakap jika dibandingkan abah. Boleh dikatakan mak wanita melayu sejati. Teringat kata-kata abah suatu ketika dahulu, bahawa dia sangat bersyukur mendapat isteri seperti mak. Abah akui dia seorang yang panas baran.Namun mak berjaya menjadi air yang boleh menyejukkan abah. Sungguh besar kuasa Mu Ya Allah. Mereka telah dipertemukan untuk saling lengkap melengkapi.

..............................................................................................................................................

Mak jatuh sakit pada tahun 2004, sewaktu aku berada di tingkatan lima. Pada ketika itu kehidupan kami sekeluarga agak sukar . Semua kerja rumah dan tugas mak diambil alih olehku. Kakak jauh di Melaka sedang bekerja. Tidak tergamak kami mahu menyuruhnya berhenti. Memang benar, setiap musibah itu ada hikmah. Apabila mak dan abah sakit, kami kenal apa itu tanggung jawab. Apa itu berdikari. Masing-masing memainkan peranan. Bermula detik itu, aku mula belajar memasak. Walaupun tidak sehebat seorang Chef namun keluarga tak pernah komplen . Manakala Abang Ham pula ke kebun mencari rezeki buat kami.


Pesananku pada mereka yang punya ayah ibu, hargailah mereka. Walaupun emak tidak menyuruh kita melakukan kerja, bukan bermaksud kita perlu bersenang lenang. Pasti dia rasa bahagia andai kita membantunya. Emak tidak meminta lebih apatah lagi kepada anak-anaknya. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk kita mengambil kesempatan ke atas mereka. Belajar untuk menjadi seorang anak yang bertanggungjawab. Belajar untuk berdiri di atas kaki sendiri. Perbaiki diri sementara masih ada ruang dan waktu.


p/s : Rindu pada kenangan lalu bersama mak dan arwah abah ^_^