Showing posts with label motivasi. Show all posts
Showing posts with label motivasi. Show all posts

Saturday, April 21, 2012

Pencarian



Suatu ketika, seorang guru yang bijaksana sedang berteduh di bawah sepohon pokok yang agak besar dan rendang. Bersamanya seorang pelajar yang masih muda tetapi gemar bertanya dan mengutip pengalaman daripada yang lebih berusia darinya.

“Guru, bagaimana kita dapat mencari pasangan hidup yang sejati? Bolehkah guru membantu saya?” Tiba-tiba pelajar itu menyoal.

Sang guru tidak terus menjawab, sebaliknya dia merenung jauh ke tengah kehijauan padang.
“Wahai muridku, saya akui soalanmu ini amat indah untuk dicerna, namun sukar untuk dilaksana....” Sang guru membuka bicara.

“Cuba kamu lihat padang yang luas itu. Terdapat banyak rumput di atasnya. Bagaimana kalau saya meminta kamu berjalan di sana, tetapi kamu tidak dibenarkan untuk mundur semula. Hanya berjalan terus, maju ke hadapan. Dalam perjalananmu itu, saya mahu kamu mencari sehelai rumput paling cantik, ambil dan berikan kepada saya.”Sang guru mengarahkan.

Tanpa banyak bicara, pelajar itu menurut. Langkahnya diatur ke tengah padang yang luas. Dia berjalan sambil matanya melilau mencari sehelai rumput paling cantik menurut perkiraannya untuk diberikan kepada sang guru.

Namun, selang beberapa ketika…
“Saya tidak melihat sehelai rumput pun pada tanganmu?” Sang guru bertanya bila dilihat pelajarnya itu kembali ke bawah pohon besar dengan tangan kosong.

“Saya berjalan, dan terus berjalan. Bila sahaja mata saya tertancap pada sehelai rumput yang saya rasakan paling cantik, hati saya pula menyanggah : "Nanti dulu! Rumput-rumput di depan ini masih banyak, mungkin ada yang lebih cantik dari yang ini.






Lalu, rumput itu saya tinggalkan dan pencarian diteruskan. Namun akhirnya, tanpa saya sedari saya sudah pun sampai ke penghujung padang yang luas, tetapi tiada sehelai rumput pun yang berada di dalam genggaman...” Ujar pelajar itu dalam nada keletihan.

Mendengar jawapan balas pelajarnya, sang guru yang bijaksana tersenyum penuh makna.

“Inilah realiti hidup....Padang yang luas itu, umpama masa, rumput-rumput yang banyak itu umpama orang ramai di sekelilingmu, manakala rumput yang cantik pula adalah individu yang menarik perhatianmu. Justeru, keadaanmu tadi banyak berlaku dalam hidup manusia dalam mencari cinta sejati. Mereka mencari, bertemu yang menambat hati, tetapi dek mengenangkan mungkin ada yang lebih baik dari yang telah ditemui, mereka teruskan mencari sehingga tanpa sedar, sudah banyak masa yang terbuang, sudah banyak tenaga yang hilang. “ Sang guru menjelaskan penuh hikmah.
“Oleh itu, dengarkan nasihatku ini. Dalam mencari pasangan hidup, janganlah selalu membanding-bandingkan dan berharap akan ada seseorang yang lebih baik di hadapan, kerana jika itu kau lakukan, masamu akan hilang, tubuhmu pasti kelelahan...” Sang guru menutup bicara disambut anggukan yang tidak putus dari pelajarnya.

Wednesday, April 6, 2011

Jangan Bersedih duhai hati.


Jangan bersedih duhai hati, sungguhnya Allah sentiasa bersama kita. Putus cinta ? pernah melalui dan merasainya? Bagaimana? pasti perit dan pedih bukan?Kata-kata yang dipetik daripada seorang penulis terkenal, menurutnya putus cinta sesama manusia kekadang mengajar kita untuk mulai mencintai Allah secara serius. Mungkin semasa bercinta kita lupa dan leka. Lantaran itu, DIA beri kita ujian untuk kita kembali semula kepadaNya. Beruntungnya kita. Diberi panduan untuk kembali setelah tersesat jalan.

Kita mungkin kehilangan cinta manusia tetapi kita menemui cinta Allah. Cinta yang abadi dan berkekalan. Tiada keraguan pada cintaNya. Menurut sebuah hadis Nabi SAW, daripada Qatadah bin Nu'man, Baginda bersabda yang bermaksud ;

" Apabila Allah mengasihi seorang hamba, Allah mengawasinya dari dunia(daripada tipu daya dan syahwat dunia) sepertimana seseorang daripada kamu berterusan mengawasi sakitnya daripada terkena air (jika sakit itu merbahaya sekiranya terkena air )
Riwayat al-Tarmizi al-Hakim

Jika difahami, orang yang putus cinta atau frust cinta akan terasa dia terpilih dan bukannya tersisih. Bertuahnya kita andai terpilih untuk melaluinya.


p/s : Mengimbas kenangan setelah 4 tahun melalui, sujud syukur padaMu






Friday, April 1, 2011

Anugerah dari kegagalan


Jumaat,1 April 2011


Syukur padaNya, hari ini permulaan dan pengakhiran yang baik buatku. Pengajaran di kelas juga berjalan dengan lancar. Manusia hanya mampu merancang. Namun yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang adalah DIA. Apa yang penting, perlu ada usaha dan penyerahan kepadaNya yang disebut sebagai tawakal.


Saya dikejutkan dengan kedatangan penyelia di sekolah. Kehadirannya tanpa diduga. Walaupun berat di hati, namun terpaksa merelakannya. Saya hairan, lazimnya beliau akan memaklumkan kedatangnya melalui kkhidmat pesanan ringkas. Paling tidak pun, beliau akan membuat panggilan rindu. Sebagai tanda giliran mengutip buah jambu sudah tiba. Tapi, hari ini...segalanya berlaku sekelip mata Kelihatan sepasang merpati sedang bergurau senda di bilik guru. Si betina cukup saya kenali, manakala si jantan samar-samar rupa parasnya. Kaki perlahan-lahan menghampiri. Wajah yang bersahaja bertukar rupa.


" Eh, Dr. Suppiah... " dengan riak wajah yang terkejut.

"Kenapa tak bagitau nak datang? Selalu sms." Kataku bermonolog sendirian.


" Kenapa saya nak bagitau kamu saya datang? " Hari ni saya observe kawan kamu saja "


Lega rasa hati. Persidangan di adakan di bilik guru. Aku ditemani beberapa orang teman tekun mendengar teguran daripada beliau.


Bla..bla...bla....


Nasihat yang diselingi dengan jenaka. Langsung tidak membosankan. Apatah lagi sikap penyelia yang mesra rakyat membuatkan kami bagai terpaku dengan kata-katanya. Memang dia seorang yang hebat. Kaya dengan pengalaman, fasih berbahasa melayu dan pandai kecek klate.


Sedang tekun melayan perasaan. Si teman yang dinilai diam membisu. Wajah bertukar warna. Diseka air matanya,lalu pantas bangun meninggalkan kami. Semua terkesima dengan tindakan luar jangkaan si sahabat. Meninggalkan penyelia begitu sahaja.


..................................................................................................................................


Anda boleh fikir,mengapa si teman meninggalkan kami begitu sahaja? Pasti anda ada jawapannya. Ya,kerana dia merasakan bahawa dia telah gagal pada waktu itu. Saya termenung,dan berfikir sejenak. Adakah tindakan yang dilakukan oleh si teman itu wajar dan tepat ?


Setiap daripada kita pasti pernah merasai kegagalan. Gagal dalam ujian, peperiksaan, temuduga, pertandingan dan paling besar adalah apabila gagal dalam kehidupan. Orang yang bijak adalah orang yang menyedari kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya. Orang yang bodoh adalah orang yang mengetahui kelemahan diri namun tidak mahu mengakui dan tidak mahu melakukan perubahan. Dalam erti kata yang lain, tidak belajar melalui pengalaman.


Sahabat, kamu perlu sedar bahawa langkahmu masih jauh dan panjang. Jangan engkau mengalah dek ujian kecil yang Allah bagi kepadaMu. Jika dirimu mengatakan kau belum bersedia, aku juga begitu. Situasi kita adalah sama. Kerana aku tahu engkau dan aku tiada bezanya. Mengapa aku mampu menerima teguran dan kritikan tempoh hari tanpa mengeluh walau sepatah. Tapi...kau.... cepat benar hatimu tersentuh dan putus asa. Bangun la...bangun la...


Saya bersyukur ditempatkan di sebelah guru cemerlang. Telah berkhidmat selama 30 tahun dan baru 2 tahun yang lepas,beliau mendapat gelaran tersebut. Suatu tempoh yang agak panjang. Dugaan untuk merealsasikannya datang silih berganti. Katanya,dia puas dengan apa yang dimiliki. Suatu penghargaan buat dirinya setelah bersusah payah selama ini.


Sahabat, untuk menjadi guru yang baik bukan boleh sehari dua, mungkin mengambil beberapa tahun atau puluhan tahun. Mindamu perlu diubah settingnya untuk lebih rasional dan positif. Adat orang belajar,pasti akan melakukan kesalahan. Jangan kerana engkau tidak bersedia,lantas menyalahkan penyelia kerana tidak memaklumkan kedatangnya kepadamu. Tidak bertempat marahmu itu. Ingat, Marah itu sahabat syaitan. Menurut Ralph Waldo Emerson, dari setiap minit yang kita gunakan untuk marah, kita akan kehilangan 60 detik kebahagiaan.


Bangkitlah daripada kegagalan. Lakukan perubahan. Setiap daripada kita ada kelebihan. Positifkan diri dengan menganggap ujian ini sebagai proses pembelajaran. Belajar untuk menjadi guru yang terbaik. Walaupun bukan untuk masa yang terdekat tapi sekurang-kurangnya untuk masa akan datang.


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka menggubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri " (surah ar-Rad :11)


Ujian dan dugaan yang mendatang tidak kira masa dan siapa sudah pasti tersembunyi segala hikmah yang membuatkan kita semakin kuat. Setelah kita penat untuk memiliki kebaikan dan kejayaan,sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya,kita disarankan untuk berdoa memohon agar diperkenankan. Ini kerana Allah SWT sentiasa mendengar rintihan hamba-hambanya. Sekian...




Sunday, November 28, 2010

Ambillah waktu



Ambillah waktu untuk BERFIKIR, karena itulah SUMBER KEKUATAN.

Ambillah waktu untuk MEMBACA, karena itulah DASAR KEBIJAKSANAAN.

Ambillah waktu untuk BERMAIN, karena itulah RAHSIA UNTUK TETAP MUDA.

Ambillah waktu untuk BERDIAM DIRI, karena itulah KESEMPATAN MENCARI TUHAN.

Ambillah waktu untuk BERDERMA, karena itulah KESEMPATAN MENOLONG ORANG LAIN.

Ambillah waktu untuk TERTAWA, karena itulah MUZIK BAGI JIWA.

Ambillah waktu untuk BERSAHABAT, karena itulah JALAN KEBAHAGIAAN.

Ambillah waktu untuk MENGASIHI & DIKASIHI, karena itulah ANUGERAH ALLAH YG TERBESAR.

Ambillah waktu untuk BERDOA, karena itulah KEKUATAN TERBESAR DI BUMI INI.



p/s : Ambillah waktu dan berilah waktu pada diri. Adakalanya itulah cara yang terbaik untuk berhadapan dengan ujian....chayok2 syuhada !!!^_^






Monday, August 30, 2010

Mencari kebahagian dan Hari yang Indah

life too short



Hujan lebat di Tanjung Malim. Payung peniaga di bazar ramadhan Kolej Za'ba banyak yang tumbang dan terbang. Mungkin angin kuat sebentar tadi. Jam menunjukkan 3.00 petang. Sebentar lagi mahu ke Kampus untuk menyelesaikan urusan dengan angah Bnc. Perjalanan agak terbatas dek kerana hujan yang turun. Stokin kaki sudah basah tapi perjalanan mesti diteruskan. Alhamdulillah hari ini saya tidak keseorangan kerana ditemani oleh Rosca dan Sam. Rasa agak selamat sedikit. Tempias hujan mengenai kami walaupun berpayung.


Rezeki kami, dan Allah memudahkan perjalanan. Setiba di Foyer KAB, bas sudah sedia menanti untuk membawa pelajar ke Kampus. Tetapi Pemandu bas mengambil masa yang agak lama untuk memulakan perjalanan. Keadaan sangat membosankan. Saya mengeluarkan buku di dalam beg dan memulakan bacaan. Bas mula bergerak. Saya memulakan aktiviti membaca, dan terfikir untuk berkongsi cebisan ilmu ini di dalam blog. Tiada lagi kesedihan,kepiluan dan keresahan. Terima kasih buku "la tahzan"


10 perkara untuk meraih kebahagiaan :

1. Bangun menjelang fajar menyingsing dan beristghfar

2. Menyendiri untuk bertafakur
" dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi " surah Ali-Imran : 191

3. Menjalin hubungan dengan orang yang soleh.
" dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka " - surah Al-Kahfi : 28

4. berzikir
" wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah ) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya " surah al-ahzab : 41

5. sembahyang dua rakaat dengan khusyuk

6. Membaca Al-Quran dengan penuh penghayatan.

7. Berpuasa pada hari yang sangat panas

8. Bersedekah secara sembunyi-sembunyi
" hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya. " ( Hadis Nabi)

9. Meringankan beban seorang Islam.
" Sesiapa yang meringakan kesusahan yang dialami oleh seseorang Islam di dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan pada hari akhirat " (Hadis Nabi)

10. Berlaku zuhud kepada sesuatu yang sifatnya fana
" Padahal kehidupan akhirat itu adalah lebih baik dan kekal " Surah al-a'la : 17.


Suatu malam yang tenang dan dingin, si sahabat datang bertandang ke bilik. Ingin menumpang tidur katanya. Hati rasa gembira kerana ada yang sudi menemani.

" Syuai, apa perkara baik yang telah kamu lakukan hari ini? " tanya si sahabat sebelum memejamkan mata.

Saya berfikir dan berbisik di dalam hati, mungkin mahu muhasabah diri agaknya. Saya pun menyatakan satu persatu.

Bertanya lagi si sahabat " perkara buruk pula? "

Saya jawab mungkin tidak memberikan senyuman pada orang lain. kata sahabat mulai hari esok sama-sama kita berusaha memperbaiki diri, banyakkan membuat kebaikan dan berusaha untuk tidak melakukan keburukan. Benar kata orang, nasihat sebelum tidur itu lebih mudah diterima. Contoh mudah seperti bed time story. Lazimnya anak-anak akan ingat apa yang dipesan oleh ibu atau bapa dan ternyata cara itu berkesan. Kalau tidak percaya anda boleh cuba. Lakukan pada adik, kawan ataupun anak. Terima Kasih Oh Tuhan kerana memberikan saya teman yang baik.




day41



Thursday, August 5, 2010

Hati tikus



Seekor tikus yang bersahabat dengan seorang ahli sihir hidup dalam keadaan ketakutan di sebuah rumah besar. Apa tidaknya, dia sentiasa dikejar oleh seekor kucing besar peliharaan tuan rumah. Tidak tahan dengan penderitaannya, si tikus menemui ahli sihir.

" tolong ubah diriku menjadi seekor kucing yang lebih besar daripada kucing di rumah ini. Aku sudah tidak tahan lagi ".

Ahli sihir itu pun menukar si tikus menjadi seekor kucing seperti yang dipinta.

Setelah menjadi kucing besar, si tikus terus mengejar kucing yang mengejarnya dahulu. Kucing rumah lari lintang pukang dibuatnya. Si tikus berjalan dengan penuh rasa bangga. Rumah itu seolah-olah dikuasainya. Tidak lama kemudian,si tikus yang berubah menjadi kucing itu pun keluar daripada rumah. Dia ingin berjalan-jalan di halaman rumah hinggalah ke tepi jalan raya.

Sebaik tiba di tepi jalan, datang seekor anjing mengejarnya. Si tikus yang menjadi kucing itu terkejut dan kecut. Dia bertempiaran lari menyelamatkan diri.

"tolong, tolong aku wahai sahabatku tukang sihir. Ubahkan aku menjadi anjing garang yang lebih besae "

Tanp membuang masa, ahli sihir menggunakan kuasanya untuk menukar si tikus dari pada seekor kucing menjadi seekor anjing yang besar.

Sebaik menjadi anjing yang besar, si tikus terus melompat keluar ke halaman rumah dan dikejarnya anjing yang mengejarnya dahulu. Oleh kerana badanya lebih besar, anjing itu pun lari.Sekarang, si tikus yang menjelma menjadi anjing itu semakin bangga. Dia melompat, menyalak dan berlari-larian di tepi jalan hingga ke seberang jalan.


Rupa-rupanya di seberang jalan ada sekumpulan budak nakal. Melihat anjing menyalak dan melompat-lompat, mereka jadi marah. Dengan lastik yang ada di tangan, mereka melastik anjing itu. Batu-batu mengenai badan, kaki dan kepala si tikus. Ia sangat menyakitkan. Si tikus yang menjadi anjing besar itu lari menyelamatkan diri dan kembali menemui ahli sihir.

"tolong..tolong...matilah aku kali ini "

"Mengapa"

"aku dilastik budak-budak nakal. Tolong tukarkan aku menjadi...."

" Tak payah ! " pintas ahli sihir

" kenapa?" tanya tikus kehairanan

" aku boleh menukar engkau menjadi apa jua yang engkau minta. Tetapi semua itu tidak ada gunanya, selagi...."

"selagi apa? "

" selagi hatimu tetap hati tikus. Hati yang pengecut. "


Pengajaran :
perubahan itu hanya dapat dilakukan apabila hati telah berubah. contoh , ramai orang merasakan mereka boleh menjadi seorang pemurah apabila kaya. Tetapi setelah kaya, pelbagai alasan yang diberikan untuk tidak membantu orang lain. Hakikatnya orang kaya sekalipun kalau hatinya masih bakhil dia tidak akan membantu orang lain. Sifat pemurah bukan ditentukan oleh banyak atau sikitnya harta tetapi oleh hati yang pemurah. Oleh itu jangan menjadi seperti hati tikus...





Tuesday, July 27, 2010

4 point

4 point yang sangat berguna, simple dan murah. Hanya dengan melakukan beberapa aktiviti kita mampu memperoleh manfaat daripadanya.

4 point menguatkan badan :
  • makan daging
  • memakai haruman
  • kerap membersihkan badan/mandi
  • berpakaian daripada kapas

4 point melemahkan badan :

  • banyak minum air ketika makan
  • sentiasa cemas
  • banyak makan bahan yang masam
  • banyak bersetubuh

4 point menajamkan mata

  • memandang warna hijau - pepohon
  • duduk mengadap kiblat
  • bercelak sebelum tidur
  • berpakaian bersih

4 point merosakkan mata

  • memandang najis
  • melihat orang dibunuh
  • melihat kemaluan
  • membelakangi kiblat

4 point menajamkan fikiran

  • tidak banyak berbual kosong
  • rajin bersugi
  • bercakap dengan orang yang soleh
  • bergaul dengan para ulama

Monday, April 12, 2010

hidup perlu perubahan





"Sampai bila awak nak jadi perempuan biasa? tak ada yang mustahil kalau kita ada kemahuan untuk berjaya. Nak seribu daya tak nak seribu dalih." Kata-kata yang diungkapkan oleh seorang teman kepada saya. Terngiang-ngiang lagi kata-kata tersebut dibenak fikiran walaupun sekadar ungkapan melalui khidmat pesanan ringkas. Ya...saya mula terfikir memang aku perlu melakukan perubahan. Semua manusia di dunia ni mahukan kehidupan yang lebih baik...sama ada dari segi material, kerjaya, mahupun kehidupan berkeluarga. Tapi semua itu tak kan dapat kalau tidak dengan usaha. Berbalik kepada kata-kata teman tadi, saya rasa tak perlu kita beria-ia mahu melakukan perubahan ke atas kelompok yang besar, memadailah bermula dengan diri sendiri.




Bukan mudah untuk melakukan perubahan, lagi-lagi perubahan ke arah kebaikan. Pernah tak anda alami situasi bila mana anda ingin melakukan perubahan,terutamanya perubahan yang positif...kawan-kawan cakap macam ni "eh, kenapa aku tengok ko lain macam je hari ni? buang tebiat ke? atau kata-kata macam ni "alhamdulillah, akhirnya ko sedar jugak eh...elok la kalau itu yang terbaik." Saya rasa mesti kita sedihkan sekiranya respon yang diterima daripada kawan-kawan tidak seperti yang kita harapkan. Niat asal mahu melakukan perubahan terus terbantut dek kata-kata yang langsung tidak memberi galakan bahkan lagi mencemuh usaha kita itu. Ish2 ...memang tak patut la kalau kita kawan dengan orang macam ni, tak nak tengok kawan-kawan maju dan berjaya. Tapi, kalau usaha kita tu sentiasa mendapat dorongan daripada keluarga, kawan-kawan dan masyarakat sekeliling mesti kita lagi bersemangat untuk melakukan perubahan. Betul tak?


Insyallah...saya percaya sekiranya kita ada niat, kemahuan dan usaha untuk berubah mesti akan dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. Tiada gunanya jika sekadar kita ada niat untuk berubah tetapi tidak ada usaha...buang karen je...macam kita beli beras dekat kedai, kalau sekadar simpan dalam tong tapi tak masak... mane kita nak tau nikmat rasa beras tu.Tapi...pesanan tuk semua dan untuk diri saya sendiri, biarlah kita berubah ke arah kebaikan dan bukan dari baik kepada tidak baik. Memang sesuatu yang sangat merugikan sekiranya itu yang berlaku. Jadi, jangan pernah mengalah dan putus asa sekiranya kita pernah berusaha untuk berubah tetapi tidak berjaya sebaliknya kita kena terus berusaha dan jangan pernah berhenti. Lagi satu, jangan kita melakukan perubahan itu disebabkan oleh si polan bin si polan. Biarlah perubah itu ikhlas atas dasar keinginan diri sendiri serta Lillahita'ala yakni kerana Allah...itulah yang terbaik. Dibawah ini terdapat beberapa tips yang boleh sama-sama kita amalkan sekiranya mahukan perubahan dalam hidup


NIAT.

Perubahan harus dimulakan dengan niat yang tulus ikhlas mengharap keredhaan Allah. Perubahan diri yang dimulai dengan niat pasti mendapat pertolongan Allah. Manakala hijrah ke arah kebaikan yang dilakukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk pasti mengundang kemarahan Allah dan tidak kekal lama kebaikannya.


TETAPKAN MATLAMAT.

Matlamat yang utama pastilah untuk mendapat keredhaan Allah. Matlamat yang disasarkan harus realistik dan mudah dicapai. Jangan meletakkan matlamat yang sukar dijangkau dalam tempoh yang singkat. Contohnya anda ingin berubah daripada seorang yang jahil tentang ilmu agama menjadi sarjana Islam yang hebat dalam masa beberapa minggu. Tentu mustahil bukan? Mulakan dengan usaha yang mudah. Contohnya anda kini konsisten mengikuti kuliah agama di surau dan masjid setiap malam. Itu mungkin hijrah diri terhadap ilmu. Anda meletakkan sasaran bahawa dalam masa 1-2 tahun ini anda dapat memahami konsep asas Islam. Atau dalam masa 2 tahun akan datang anda dapat menguasai hukum tajwid dan dapat membaca ayat-ayat al-Quran dengan baik.


BUANG PERSEPSI YANG SALAH.

Selama ini anda mungkin mempunyai persepsi yang salah terhadap diri anda dan kehidupan. Anda mengkin mempunyai persepsi bahawa hanya golongan yang baik-baik sahaja yang dapat kemanisan iman. Segala tanggapan negatif bahawa anda tidak layak untuk berubah harus dibuang jauh-jauh. Ambil sehelai kertas dan tuliskan apakah keinginan anda. Catatkan juga apa yang ingin diubah, lantas sebutkan sebarang perubahan positif tersebut berkali-kali agar membentuk suatu persepsi yang baik. Buang segala persepsi hanya insan terpilih sahaja yang boleh menemui jalan pulang. Mengapa tidak anda?


HENTIKAN PERKATAAN NEGATIF.

Perhatikan perkataan yang negatif yang sentiasa keluar dari mulut anda. Perdengarkan pula kata-kata positif yang keluar daripada orang-orang hebat. Latihlah diri untuk menuturkan kata-kata hebat tersebut agar diri anda seperti menjadi orang yang baru. Tukarlah kata- kata kegagalan kepada nota-nota kejayaan. Lafazkanlah kata-kata “aku ingin berhijrah”, “aku ingin berubah”, “aku pasti boleh berubah” , agar diharapkan ia menjadi suatu doa yang baik.


BANYAKKAN MEMBACA DAN MENDENGAR KISAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.

Bagi remaja yang ingin bertudung contohnya, bacalah buku-buku di pasaran tentang bagaimana akhirnya wanita- wanita mendapat hidayah untuh tampil bertudung menutup aurat. Banyak bahan bacaan yang mendorong kita untuk berubah. Itulah kuasa hijrah. Dekatilah tokoh-tokoh serta ahli agama yang sentiasa akan memberikan motivasi dan nasihat. Ambillah pengajaran daripada kisah kesedaran insan terpilih tersebut. Ia penting untuk anda mengorak langkah mencerna hijrah diri. Hadirilah ceramah motivasi pengkisahan insan-insan yang berjaya mengubah diri ke arah kebaikan.


PEDULIKAN APA KATA ORANG.

Untuk berhijrah memang memerlukan pengorbanan. Orang akan melihat sebarang perubahan diri yang dilakukan. Pasti ada yang memuji malah ada yang mengeji. Apa yang penting itulah rencah dan dugaan hidup yang perlu anda lalui. Jangan berkecil hati dan kuatkan semangat. Jangan mudah luntur semangat hanya kerana omongan kosong orang-orang yang iri hati dengan perubahan positif anda. Kita mungkin hanya diumpat demi untuk hijrah diri, tetapi Rasulullah pernah dibaling batu dan disakiti oleh golongan kafir. Jadikanlah segalanya sebagai suatu pendorong untuk terus beristiqamah dalam perjuangan mengubah sikap.

BERDOALAH.

Allah sesungguhnya telah berfirman:

Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina-dina."

(Al-Mu’min 40: 60)

Berdoalah untuk pilihan yang unggul buat kita mengharap pertolongan daripada Allah. Tiada kuasa lain yang mampu untuk membantu keinginan diri untuk berhijrah daripada kesesatan kepada kebaikan. Jangan kita lupa bahawa Allah menentukan segala niat dan keinginan diri dimakbulkan. Jadi, berdoalah diiringi keinsafan terhadap dosa-dosa lalu, mohon diampuni-Nya. Berdoalah agar segala usaha membaiki diri itu dibukakan jalan yang luas tanpa halangan berliku.



Benarlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud " Pada akhir zaman nanti , umat Islam laksana buih-buih dibawa arus, mungkin kerana gagalnya kita menguruskan perubahan . Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk menguruskan perubahan dengan baik. Lakukanlah perubahan yang kecil tapi hasilnya besar. Mulalah dari yang kecil, perubahan yang besar pasti akan datang...cayok2!!!

"Sesunggunya Allah tidak akan mengubah apa yang ada
pada sesuatu kaum s ehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri "
(Al-Ra'd 13:11)