Wednesday, March 7, 2012

Felda di Jempol

 

Penubuhan Felda pada tahun 1956 melalui usaha mantan Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein telah menjadi titik tolak kepada peningkatan ekonomi orang melayu di luar Bandar. Sejarah pembukaan tanah rancangan di Negeri Sembilan bermula sekitar tahun 1960 dengan pembukaan LBJ Sendayan dan Sungai Lui. 

Namun begitu, dua tanah rancangan iaitu Kampung LBJ dan Sendayan yang terletak di Daerah Seremban telah dikeluarkan daripada FELDA berikutan pengambilalihan kerajaan Negeri Sembilan bagi tujuan pembangunan. Malahan pengambilalihan kedua-dua tanah rancangan ini masih bertunjangkan prinsip “ menang-menang “.

 

Bil

Rancangan

Luas kampung

Luas
Rancangan

Jumlah peneroka


1
Bukit Rokan Barat
107.69
896.69
193

2
Sungai Lui
23.79
505.04
130

3
Lui Barat
81.88
844.05
191

4
Lui Muda
66.41
979.35
213

5
Lui Selatan 1
153.78
1274.52
243

6
Lui Selatan 2
157.03
1207.08
251

7
Lui Timur
173.04
2426.87
540

8
Palong 1
220.73
2340.90
441

9
Palong 2
146.54
1880.15
534

10
Palong 3
112.00
2183.33
512

11
Palong 4
277.80
2381.44
514

12
Palong 5
103.14
2164.46
506

13
Palong 6
369.50
2408.32
486

14
Palong 7
242.19
2542.95
558

15
Palong 8
105.12
2892.21
660

16
Palong 9
0.00
1177.58
259

( Sumber : Maklumat Asas Felda Raja Alias, Januari 2010 ) 

Berdasarkan maklumat terkini, di Daerah Jempol sahaja terdapat 50 tanah rancangan ianya merangkumi enam di Gemas, tiga di Tampin dan Jelebu. Manakala satu terletak di Kuala Pilah. Pengagihan jenis tanaman di tanah-tanah rancangan dapat dipecahkan kepada beberapa bahagian. 

14 tanah rancangan mengusahakan kebun getah, 7 tanah rancangan kelapa sawit dan 22 tanah rancangan yang mengusahakan kedua-duanya. Seluas 88509.41 hektar tanah telah dimajukan oleh FELDA di Negeri Sembilan. Seluas 75752.81 hektar atau 84 peratus adalah kawasan berpeneroka. 

12568.10 hektar atau 14.2 peratus kawasan ladang yang diurustadbir oleh Felda Plantations Sdn.Bhd (FPSB) dan 188.50 hektar atau 0.2 peratus diurustadbir oleh Felda Agricultural Services Sdn.Bhd (FASSB). Jadual di atas menerangkan  maklumat kawasan Felda Raja Alias khususnya di sekitar Jempol.


           

Saturday, February 11, 2012

Pembohongan?



Hari ini, saya akan memulakan pengajaran di kelas 4 Abrar. Rata-rata pelajarnya cerdik dan bagus. Minda ligat berfikir. Merangka idea apa yang mahu diterjemahkan di dalam kelas nanti. Setelah begitu lama bercuti, otak menjadi semakin tepu. Inilah akibatnya apabila otak yang dikurniakan Allah tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Banyak fakta Sejarah yang dilupai.

Buku diselak sehelai demi sehelai. Diri bermonolog sendirian

" boleh ke nak ingat semua fakta ni kalau sekali baca? Ini aje masa yang ada. Kelas nak bermula tak lama lagi ni. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar."

LDP Sekolah

Saya tersenyum sendirian mengenangkan Ustazah Nik Norsaha, penceramah jemputan untuk program LDP Sek Men Bandar Baru Serting. Tajuk ceramah yang disampaikan adalah berkisar "STRESS". Dilema yang biasa dihadapi oleh guru-guru. Kata beliau, guru sentiasa akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, baik fizikal mahupun mental. Justeru, guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran mengurus emosi. Apabila melalui saat genting begini, baru saya sedar kata-kata beliau itu ada benarnya.

Dengan nama Allah aku berkerja
Dengan nama Allah aku berusaha
Andai hasilnya sempurna, aku redha atas rezeki yang KAU berikan.

Doa yang sering beliau bisik dan niatkan di hati sebelum bertolak ke tempat kerja. Ikhlaskan hati, Insyallah pasti ada kejayaan.

Zaman Prasejarah

Dengan lafaz bismillah, saya melangkah masuk ke kelas. Pengajaran bermula dengan baik. Tajuk yang dipelajari adalah berkaitan Tamadun awal Dunia. Menyingkap kembali proses pembentukan tamadun awal manusia berserta ciri-cirinya.

Sedang leka berbicara di hadapan kelas, seorang pelajar mengangkat tangan dan mengajukan soalan.

" Cikgu, sebenarnya kenapa ada manusia yang tidak bertamadun? Sedangkan dalam Islam, Nabi Adam itu manusia yang bertamadun. Dari mana pulak datangnya manusia-manusia ni? "
Persoalan diberikan dengan penuh tanda tanya."

Saya terdiam sejenak. Walaupun soalannya kelihatan mudah, namun jawapannya perlukan hujah yang konkrit untuk dijadikan sandaran. Saya meminta untuk diberikan tempoh untuk menjawap soalan tersebut. Dalam masa yang sama, saya turut meminta pelajar untuk mencarinya di rumah.

Website ini http://ms.harunyahya.com di bawah tajuk satu pembohongan sejarah sedikit sebanyak membantu saya memberikan idea untuk dijadikan sebagai hujah. Bagaimana bijaknya manusia pasti ada yang MAHA BIJAK daripada segalanya. Menurut penulis, zaman prasejarah mungkin tidak pernah wujud dan diada-adakan oleh golongan evolusi.

 Masih ingat dengan teori Darwin? Teori yang mendakwa manusia berasal daripada beruk dan mengalami transformasi dari satu tahap ke tahap yang lain sehingga menghasilkan manusia moden yang dikenali sebagai Homo Sapien. Menurut penulis lagi, kepalsuan yang diadakan oleh para evolusionis ini adalah untuk menafikan akan kewujudan TUHAN. Nauzubillah. Mana mungkin alam dan semua makhluk yang ada di bumi ini terjadi dengan sendirinya tanpa ada pencipta!

Namun, walau apa jua perkara yang dibentangkan kepada kita, sebagai Islam kita perlu  menguatkan iktikad dan kepercayaan bahawasanya manusia berasal dari keturunan Nabi Adam. Kemudian keturunan inilah yang berkembang biak dan bertebaran di serata  pelusuk bumi.

Malahan  menurut Harun Yahya,  penemuan arkeologi juga menunjukkan bahawa sejak permulaan sejarah manusia, telah ada titik-titik di mana masyarakat yang bertamadun hidup bersama dengan komuniti yang mundur. Hakikatnya pada kebanyakkan masa,masyarakat yang kaya dengan budaya telah wujud bersama dengan mereka yang terkebelakang. Contohnya pada hari ini jika di Malaysia, corak kehidupan orang melayu jauh lebih maju berbanding orang asli khususnya dalam aspek gaya hidup. Saya tinggalkan anda dengan sebuah video. Semoga kita dapat bersama memikirkannya.  Wallahualam













Sunday, April 17, 2011

Aku, dia dan mereka

Pantas benar masa bergerak. Pejam celik,pejam celik... sudah pertengahan bulan April. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman berkunjung ke Pulau Pinang pada cuti sekolah yang lepas. Terima kasih Abang Kamal sebab bawa kami ke sana. Rasa teruja apabila pertama kali menaiki feri ke Pulau Pinang. Walaupun pernah menaiki feri ke Langkawi sebelum ini,tetapi pengalaman kali ini sangat berbeza. Walaupun sebentar tapi sangat menyeronokkan.


Kenangan di Kebun Bunga,Pulau Pinang




Kami dalam perjalanan dari Jeti nak ke Seberang sana. Rasa teruja. Seronok menikmati pemandangan sambil menghirup udara segar, diiringi aroma air laut. Kata-kata pertama yang keluar daripada mulut Baiti apabila feri bergerak, " Mak cik,adik tak mau mandi" hehe..dia ingat kami nak mandi dekat atas feri.


Baiti yang ketakutan. Tangan yang dipegang erat, tidak mahu dilepaskan.



Kami sudah tiba di Batu Feringgi. Sempat mencuci mata di bazar kecil ala-ala Masjid India yang menjual beraneka barangan seperti kasut, beg, perhiasan dan baju. Terima kasih Abang Kamal, untuk satu hari yang sangat menyeronokkan.




* Otak ligat berfikir, nak buat apa selepas praktikal ni, ada 5,6 bulan...masa yang panjang

Thursday, April 14, 2011

Hadiah bermakna.

13hb April aku dikejutkan dengan notis pemberitahuan pengambilan barang di pejabat pos. Ketika itu minda ligat berfikir, menjana idea. Mencari gerangan si pengirimnya. Fikir dan terus berfikir. Keesokan harinya aku lekas bergegas ke pejabat pos mengambil barang yang dikirimkan kepadaku. Aku terima sebuah kotak yang tidak ku ketahui kandungannya. Setiba di rumah, kotak dibuka perlahan-lahan. Mata terpana pada sehelai kertas merah yang diselitkan bersama-sama barangan tersebut.


SELAMAT HARI LAHIR
Sahabat... Jadikan pemberianku teman sejatimu
Pengganti diriku

Daku mengkagumi ciptaan dan kekuasan Allah SWT
Dia menciptakan dirimu seorang wanita
yang
begitu lembut luarannya.

Begitu halus tutur kata dan gerak lakumu
Namun disebalik kelembutan dan kehalusan itu,
Dia menjadikan dirimu seorang
yang begitu kuat...
tabah dan taat.

Sesungguhnya aku amat cemburu akan dirimu.


gambar hiasan


Hatiku terasa sangat sebak. Ya Allah, aku bersyukur di atas kurniaanMu. Menganugerahkanku sahabat sebegini. Mengajarku erti dan nilai persahabatan. Aku tidak pernah menyesal mengenalimu. Keranamu sahabat, aku belajar erti kekuatan. Keranamu sahabat aku belajar nilai kehidupan.Terima kasih,hanya DIA yang layak membalasnya. Aku masih tergamam dengan hadiah yang sangat bermakna itu. Syukran sahabat.



Gambar hiasan


Wednesday, April 6, 2011

Jangan Bersedih duhai hati.


Jangan bersedih duhai hati, sungguhnya Allah sentiasa bersama kita. Putus cinta ? pernah melalui dan merasainya? Bagaimana? pasti perit dan pedih bukan?Kata-kata yang dipetik daripada seorang penulis terkenal, menurutnya putus cinta sesama manusia kekadang mengajar kita untuk mulai mencintai Allah secara serius. Mungkin semasa bercinta kita lupa dan leka. Lantaran itu, DIA beri kita ujian untuk kita kembali semula kepadaNya. Beruntungnya kita. Diberi panduan untuk kembali setelah tersesat jalan.

Kita mungkin kehilangan cinta manusia tetapi kita menemui cinta Allah. Cinta yang abadi dan berkekalan. Tiada keraguan pada cintaNya. Menurut sebuah hadis Nabi SAW, daripada Qatadah bin Nu'man, Baginda bersabda yang bermaksud ;

" Apabila Allah mengasihi seorang hamba, Allah mengawasinya dari dunia(daripada tipu daya dan syahwat dunia) sepertimana seseorang daripada kamu berterusan mengawasi sakitnya daripada terkena air (jika sakit itu merbahaya sekiranya terkena air )
Riwayat al-Tarmizi al-Hakim

Jika difahami, orang yang putus cinta atau frust cinta akan terasa dia terpilih dan bukannya tersisih. Bertuahnya kita andai terpilih untuk melaluinya.


p/s : Mengimbas kenangan setelah 4 tahun melalui, sujud syukur padaMu






Monday, April 4, 2011

Arnab si pelari pecut

Arnab, binatang comel yang berbulu lembut.Teringin sangat nak pelihara arnab di rumah. Mudahan-mudahan dimurahkan rezeki dan diberi kesempatan. Diruang yang agak terbatas ini, saya ingin berkongsi gambar-gambar menarik si arnab yang begitu sinonim dengan kecomelannya. Teringat cerita zaman kanak-kanak suatu masa dahulu " Kura-kura dan Sang arnab "

Seronok dan rasa teruja bila menonton slot majalah 3 minggu lepas berkaitan arnab. Menurut penternak arnab tu, mula-mula beliau memelihara arnab sekadar minat sahaja. Tetapi,apabila arnab yang dipelihara semakin berkembang biak, beliau terfikir untuk mengkomersialkannya. Idea yang menarik dan bijak. Selain boleh dijadikan sebagai binatang peliharaan, boleh juga dijadikan sebagai makanan. Persoalannya, sanggup ke makan daging arnab? Kesiannya dia....Apa-apa pun jom layan gambar di bawah ni ^_^


Cutenya Arnab spesis English Angora ni,mata pun tak nampak,bulu terlalu tebal...macam mana nak jalan ni..ermmm


hi...i'm baby rabbit


Flemish Giant


Cashmere lop


Dutch Rabbit

Dwarft lop

Macam mana? comelkan..Jadi kita ada beberapa alternatif untuk memilih haiwan mana yang sesuai dijadikan sebagai binatang peliharaan.Kucing, Ikan, burung ataupun arnab...semua pilihan di tangan kita.



Sunday, April 3, 2011

Keramat 2 April


Allah selamatkan saya....(2x)
Allah selamatkan Nur Syuhada
Allah selamatkan saya...


Terima kasih buat teman-teman yang mengucapkan selamat hari lahir pada 2 April yang lalu. Semoga doa kalian diperkenankan oleh Yang Maha Esa. InsyaAllah dengan kedatangan usia baru ini, moga kehidupan saya lebih berkat dan berjaya. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman baik saya Rosca, Siti dan Sam. Momen indah meraikan ulang tahun kelahiran di kolej suatu masa dahulu kekal dalam ingatan. Buat insan yang jauh di mata doamu sentiasa menjadi pendorong untuk saya teruskan perjuangan. Bertemu dan berpisah kita keranaNya. Terima kasih buat mak cik Rosca di atas luahan rasa yang dicoretkan di blog : Life Is Beautiful: BESFREN BESDAY

"'Distance never separates two hearts that really care, for our memories span the miles and in seconds we are there. But whenever I start fee..."

Jarak bukanlah penghalang kepada sebuah perhubungan. Walau jauh manapun kita, kenangan-kenangan lalu yang pernah dilalui bersama menjadikan kita semakin dekat. Terima kasih di atas segalanya. Moga Tuhan merahmati kamu dan saya.

Friday, April 1, 2011

Anugerah dari kegagalan


Jumaat,1 April 2011


Syukur padaNya, hari ini permulaan dan pengakhiran yang baik buatku. Pengajaran di kelas juga berjalan dengan lancar. Manusia hanya mampu merancang. Namun yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang adalah DIA. Apa yang penting, perlu ada usaha dan penyerahan kepadaNya yang disebut sebagai tawakal.


Saya dikejutkan dengan kedatangan penyelia di sekolah. Kehadirannya tanpa diduga. Walaupun berat di hati, namun terpaksa merelakannya. Saya hairan, lazimnya beliau akan memaklumkan kedatangnya melalui kkhidmat pesanan ringkas. Paling tidak pun, beliau akan membuat panggilan rindu. Sebagai tanda giliran mengutip buah jambu sudah tiba. Tapi, hari ini...segalanya berlaku sekelip mata Kelihatan sepasang merpati sedang bergurau senda di bilik guru. Si betina cukup saya kenali, manakala si jantan samar-samar rupa parasnya. Kaki perlahan-lahan menghampiri. Wajah yang bersahaja bertukar rupa.


" Eh, Dr. Suppiah... " dengan riak wajah yang terkejut.

"Kenapa tak bagitau nak datang? Selalu sms." Kataku bermonolog sendirian.


" Kenapa saya nak bagitau kamu saya datang? " Hari ni saya observe kawan kamu saja "


Lega rasa hati. Persidangan di adakan di bilik guru. Aku ditemani beberapa orang teman tekun mendengar teguran daripada beliau.


Bla..bla...bla....


Nasihat yang diselingi dengan jenaka. Langsung tidak membosankan. Apatah lagi sikap penyelia yang mesra rakyat membuatkan kami bagai terpaku dengan kata-katanya. Memang dia seorang yang hebat. Kaya dengan pengalaman, fasih berbahasa melayu dan pandai kecek klate.


Sedang tekun melayan perasaan. Si teman yang dinilai diam membisu. Wajah bertukar warna. Diseka air matanya,lalu pantas bangun meninggalkan kami. Semua terkesima dengan tindakan luar jangkaan si sahabat. Meninggalkan penyelia begitu sahaja.


..................................................................................................................................


Anda boleh fikir,mengapa si teman meninggalkan kami begitu sahaja? Pasti anda ada jawapannya. Ya,kerana dia merasakan bahawa dia telah gagal pada waktu itu. Saya termenung,dan berfikir sejenak. Adakah tindakan yang dilakukan oleh si teman itu wajar dan tepat ?


Setiap daripada kita pasti pernah merasai kegagalan. Gagal dalam ujian, peperiksaan, temuduga, pertandingan dan paling besar adalah apabila gagal dalam kehidupan. Orang yang bijak adalah orang yang menyedari kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya. Orang yang bodoh adalah orang yang mengetahui kelemahan diri namun tidak mahu mengakui dan tidak mahu melakukan perubahan. Dalam erti kata yang lain, tidak belajar melalui pengalaman.


Sahabat, kamu perlu sedar bahawa langkahmu masih jauh dan panjang. Jangan engkau mengalah dek ujian kecil yang Allah bagi kepadaMu. Jika dirimu mengatakan kau belum bersedia, aku juga begitu. Situasi kita adalah sama. Kerana aku tahu engkau dan aku tiada bezanya. Mengapa aku mampu menerima teguran dan kritikan tempoh hari tanpa mengeluh walau sepatah. Tapi...kau.... cepat benar hatimu tersentuh dan putus asa. Bangun la...bangun la...


Saya bersyukur ditempatkan di sebelah guru cemerlang. Telah berkhidmat selama 30 tahun dan baru 2 tahun yang lepas,beliau mendapat gelaran tersebut. Suatu tempoh yang agak panjang. Dugaan untuk merealsasikannya datang silih berganti. Katanya,dia puas dengan apa yang dimiliki. Suatu penghargaan buat dirinya setelah bersusah payah selama ini.


Sahabat, untuk menjadi guru yang baik bukan boleh sehari dua, mungkin mengambil beberapa tahun atau puluhan tahun. Mindamu perlu diubah settingnya untuk lebih rasional dan positif. Adat orang belajar,pasti akan melakukan kesalahan. Jangan kerana engkau tidak bersedia,lantas menyalahkan penyelia kerana tidak memaklumkan kedatangnya kepadamu. Tidak bertempat marahmu itu. Ingat, Marah itu sahabat syaitan. Menurut Ralph Waldo Emerson, dari setiap minit yang kita gunakan untuk marah, kita akan kehilangan 60 detik kebahagiaan.


Bangkitlah daripada kegagalan. Lakukan perubahan. Setiap daripada kita ada kelebihan. Positifkan diri dengan menganggap ujian ini sebagai proses pembelajaran. Belajar untuk menjadi guru yang terbaik. Walaupun bukan untuk masa yang terdekat tapi sekurang-kurangnya untuk masa akan datang.


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka menggubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri " (surah ar-Rad :11)


Ujian dan dugaan yang mendatang tidak kira masa dan siapa sudah pasti tersembunyi segala hikmah yang membuatkan kita semakin kuat. Setelah kita penat untuk memiliki kebaikan dan kejayaan,sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya,kita disarankan untuk berdoa memohon agar diperkenankan. Ini kerana Allah SWT sentiasa mendengar rintihan hamba-hambanya. Sekian...




Sunday, February 20, 2011

Kawan oh Kawan




" Bila orang telah merasa dirinya besar, Dia lupa akan salahnya. Hanya sahabat yang setia sanggup membukakan matanya." (Hamka)

Sahabat, teman, kawan, atau apa sahaja gelaran, zahirnya merujuk pada perkara yang sama. Namun setiap satunya membawa maksud yang berbeza. Kata orang, kawan itu cerminan peribadi. Dengan siapa kita berkawan, secara tidak langsung melambangkan siapa diri kita yang sebenarnya.Tidak dinafikan pengaruh individu yang bernama kawan ini sangat besar dalam kehidupan. Ianya turut mempengaruhi minat dan kecenderungan seseorang. Lagi-lagi mereka yang mempunyai sahabat karib.

"Berkawanlah dengan pembuat minyak wangi, nescaya harumannya akan terkena bajumu juga. Jangan berkawan dengan si tukang besi (atau tukang pembuat pedang), percikan apinya akan terkena bajumu lalu boleh terbakar."

Setiap manusia bebas membuat pilihan dengan siapa dia hendak berkawan. Ya, pilihan itu di tangan kita. Mahu yang baik ataupun sebaliknya. Saya suka kata-kata di atas. Bahasanya mudah untuk ditafsirkan. Berkawanlah dengan pembuat minyak wangi(orang-orang yang baik) kerana pasti tempias kebaikannya itu akan mengenai kita. Orang kata,kawan yang baik itu skema sifatnya. Orang kelantan kata " juruh". Tidak up to date dan ketinggalan zaman.

Tapi, andai kita lebih suka berkawan dengan si penukang besi, fikir-fikirkan kesan baik buruknya. Mungkin untuk jangka masa pendek dia boleh buat kita gembira dan bahagia. Jangka masa panjang?

Saya berkesempatan melihat gambar sahabat-sahabat lama di Face book. Semua makin dewasa, matang dan mempunyai kerjaya sendiri. Namun saya agak terkejut dan terkilan dengan perubahan beberapa orang teman yang tidak seperti dahulu. Mungkinkah disebabkan oleh kejutan budaya atau faktor kawan itu sendiri? Moga masih ada ruang untuk kita sama-sama memperbaiki diri.

Doa ditetapkan hati dan pendirian



"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
(Ali-Imran : 8)








Saturday, February 12, 2011

Kenapa Cikgu Marah??




Hari ini Cikgu Siti ke sekolah dengan penuh semangat dan keazaman. Walaupun terpaksa berjalan kaki setiap hari, namun demi tekad untuk merealisasikan impian, dia terpaksa mengalah. Bak kata pepatah "Alah bisa tegal biasa".

Sesi pembelajaran berlangsung seperti biasa. Guru-guru sibuk dengan tugasan masing-masing. Bebanan kerja semakin hari, semakin bertambah. Telinganya lali dengan rungutan dan keluhan teman-teman. Apakan daya inilah tanggungjawab dan amanah yang perlu mereka pikul apabila bergelar guru.

Orang kata, jadi guru ini mudah. Cuma buang air liur sahaja, hujung bulan terima gaji. Tapi, adakah itu realitinya? Cikgu Siti hanya mampu tersenyum sambil bermonolog sendirian.

" Ehm...nak tau mudah ke susah, kenalah jadi cikgu dulu "

................................................................................................................................

Cikgu Siti pantas menuju ke kelas 4 Damar. Kuatir dirinya lewat tiba ke kelas. Sebaik sahaja melangkah masuk, puluhan mata tepat memandang ke arahnya. Kelas yang hingar-bingar tadi, menjadi sunyi seketika.

" Baik kelas, saya Cikgu Siti. Saya akan menggantikan Cikgu Muhamad hari ni. Jadi tolong buat kerja masing-masing dan jangan bising. "

10 minit berlalu dengan aman. Jiwanya berlagu riang. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari

Dum...dam...dum..dam... Kah..kah..kah

Istighfar dilafazkan berulang-ulang kali. Hatinya memujuk supaya bersabar. Bunyi sumbang semakin kuat menerjah gegendang telinga. Jiwa mulai terbakar. Akalnya ligat berfikir, merangka strategi yang sesuai untuk berhadapan dengan situasi itu.
..............................................................................................................................

" Naren, tolong ke depan. Apa yang awak buat dekat belakang tu ? "

" Saya tak buat apa-apa cikgu, Lim kacau saya tadi ."

" Awak tak nampak ke saya dekat sini ? Langsung tak ada rasa hormat kan ! "


Hatinya tak mampu untuk bersabar lagi. Ditahan air mata yang ingin keluar. Nafsu amarah hebat menguasi diri.


" Saya bagi masa 10 minit, saya nak awak cerita tentang guru di hadapan kelas. No Excuse !! "

...................................................................................................................................................

" Cikgu suka marah orang. Saya pun tak tau kenapa cikgu asyik nak marah-marah je. Kalau nak tanya soalan banyak kali dia marah. Sikit-sikit marah."


Itu antara bait-bait kata yang diucapkan oleh Naren sebentar tadi. Persoalannya kenapa cikgu marah? Manusia dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai perasaan. Suka, sayang, benci dan marah.

Jawapan Cikgu Siti mudah. Dia mengajak semua pelajar berfikir bersama. Katanya,manusia tidak akan marah jika tidak bersebab. Tiada manusia yang diciptakan di dunia untuk memarahi orang setiap hari. Cikgu marah kerana merasakan tindakan yang dilakukan adalah sesuatu yang tidak betul. Hanya cikgu yang faham mengapa mereka marah. Tanya pada diri, apa yang kita lakukan sehingga membuatkan orang marah, dan bukan bertanya mengapa orang marah. Renung-renungkan, selamat beramal.





Friday, December 3, 2010

Kasih Ibu





" Gembiranya hari ni...dapat balik rumah, mesti mak aku tak sabar tunggu kepulanganku. Nanti boleh makan masakan emak puas-puas. " Kata teman dengan penuh girang.

Tangannya lincah mengemas barang. Senyuman meleret tidak lekang di bibir. Hati tumpang gembira melihat keletah si teman. Mulut becoknya tidak berhenti-henti bercakap. Melahirkan rasa terujanya.

Aku rindu saat-saat begitu. Terbayang dibenak fikiran, wajah kedua ibu bapa yang setia menanti di depan pintu. Menunggu saat kepulangan anakanda tercinta. Diiringi tangisan dan linangan air mata gembira. Disambut mesra ayah dan emak dengan pelukan yang erat seolah-olah tidak mengizinkan anaknya pergi lagi. Sayu menusuk ke sanubari.

" Bila ko balik kampung ? " tanya si teman menghilangkan rasa sunyi yang bertandang.

"Entah la, aku pun tak tau bila nak balik. Tak ada arah tujuan ni. Nak balik kampung, mak aku pun tak de dekat sana. Keluhan ku lepaskan perlahan-lahan.

" Habis tu ? "

" Nantilah aku fikirkan, nak ke mana. Aku tak suka duduk rumah orang. Lagi-lagi tinggal lama-lama. Aku rindulah nak rasa macam dulu. "

" Rasa macam mana? "

"Rasa macam kau la, balik kampung. Habiskan cuti bersama mak dan abah. Makan masakan mak. Tolong Abah berniaga di warung burger . Rindunya..."

" Sabarlah, setiap yang hidup itu pasti akan pergi. Sedekahkan Al-Fatihah dekat arwah. Banyakkan baca Al-Quran. Semoga mak ko sentiasa sihat dan dipanjangkan umur ".

Amin Ya Allah, semoga kau kabulkan doa sahabatku ini. Memang itu yang aku harapkan. Semoga arwah Abah di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.


..................................................................................................................

Wajah mak muncul, melihatkan wajah tuanya. Wanita yang sangat aku kagumi. Seorang penyabar, rajin, pandai memasak dan sangat penyayang. Mak seorang yang sangat kuat berkerja. Pernah suatu masa mak sibuk, sampai lupa nak makan. Mak sibuk kerana kami. Sibuk mencari rezeki, mengerah tulang empat keratnya. Seawal pagi mak sudah bersiap sedia di dapur memasak kuih untuk dijual di warung abah. Jarang benar juadahnya tidak habis. Tambahan pula jika bulan puasa menjelma.

Mak...kau wanita yang hebat. Walaupun dirimu lemah lembut namun tegas dalam mendidik. Mak tidak suka melihat anaknya susah, lantaran itu semua kerja mak yang lakukan sendirian. Mak, aku kesal dengan diriku. Aku tidak mampu menjadi anak yang baik. Jika kau masih dikurniakan upaya dan kesihatan yang baik, aku akan pastikan kau tidak melakukan sebarang pekerjaan pun. Biarlah dirimu bersenang lenang pula kerna kau telah puas berasa letih sepanjang hidupmu.


Mak seorang yang tidak banyak bercakap jika dibandingkan abah. Boleh dikatakan mak wanita melayu sejati. Teringat kata-kata abah suatu ketika dahulu, bahawa dia sangat bersyukur mendapat isteri seperti mak. Abah akui dia seorang yang panas baran.Namun mak berjaya menjadi air yang boleh menyejukkan abah. Sungguh besar kuasa Mu Ya Allah. Mereka telah dipertemukan untuk saling lengkap melengkapi.

..............................................................................................................................................

Mak jatuh sakit pada tahun 2004, sewaktu aku berada di tingkatan lima. Pada ketika itu kehidupan kami sekeluarga agak sukar . Semua kerja rumah dan tugas mak diambil alih olehku. Kakak jauh di Melaka sedang bekerja. Tidak tergamak kami mahu menyuruhnya berhenti. Memang benar, setiap musibah itu ada hikmah. Apabila mak dan abah sakit, kami kenal apa itu tanggung jawab. Apa itu berdikari. Masing-masing memainkan peranan. Bermula detik itu, aku mula belajar memasak. Walaupun tidak sehebat seorang Chef namun keluarga tak pernah komplen . Manakala Abang Ham pula ke kebun mencari rezeki buat kami.


Pesananku pada mereka yang punya ayah ibu, hargailah mereka. Walaupun emak tidak menyuruh kita melakukan kerja, bukan bermaksud kita perlu bersenang lenang. Pasti dia rasa bahagia andai kita membantunya. Emak tidak meminta lebih apatah lagi kepada anak-anaknya. Jangan jadikan itu sebagai alasan untuk kita mengambil kesempatan ke atas mereka. Belajar untuk menjadi seorang anak yang bertanggungjawab. Belajar untuk berdiri di atas kaki sendiri. Perbaiki diri sementara masih ada ruang dan waktu.


p/s : Rindu pada kenangan lalu bersama mak dan arwah abah ^_^