Saturday, February 11, 2012

Pembohongan?



Hari ini, saya akan memulakan pengajaran di kelas 4 Abrar. Rata-rata pelajarnya cerdik dan bagus. Minda ligat berfikir. Merangka idea apa yang mahu diterjemahkan di dalam kelas nanti. Setelah begitu lama bercuti, otak menjadi semakin tepu. Inilah akibatnya apabila otak yang dikurniakan Allah tidak dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Banyak fakta Sejarah yang dilupai.

Buku diselak sehelai demi sehelai. Diri bermonolog sendirian

" boleh ke nak ingat semua fakta ni kalau sekali baca? Ini aje masa yang ada. Kelas nak bermula tak lama lagi ni. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar."

LDP Sekolah

Saya tersenyum sendirian mengenangkan Ustazah Nik Norsaha, penceramah jemputan untuk program LDP Sek Men Bandar Baru Serting. Tajuk ceramah yang disampaikan adalah berkisar "STRESS". Dilema yang biasa dihadapi oleh guru-guru. Kata beliau, guru sentiasa akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, baik fizikal mahupun mental. Justeru, guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran mengurus emosi. Apabila melalui saat genting begini, baru saya sedar kata-kata beliau itu ada benarnya.

Dengan nama Allah aku berkerja
Dengan nama Allah aku berusaha
Andai hasilnya sempurna, aku redha atas rezeki yang KAU berikan.

Doa yang sering beliau bisik dan niatkan di hati sebelum bertolak ke tempat kerja. Ikhlaskan hati, Insyallah pasti ada kejayaan.

Zaman Prasejarah

Dengan lafaz bismillah, saya melangkah masuk ke kelas. Pengajaran bermula dengan baik. Tajuk yang dipelajari adalah berkaitan Tamadun awal Dunia. Menyingkap kembali proses pembentukan tamadun awal manusia berserta ciri-cirinya.

Sedang leka berbicara di hadapan kelas, seorang pelajar mengangkat tangan dan mengajukan soalan.

" Cikgu, sebenarnya kenapa ada manusia yang tidak bertamadun? Sedangkan dalam Islam, Nabi Adam itu manusia yang bertamadun. Dari mana pulak datangnya manusia-manusia ni? "
Persoalan diberikan dengan penuh tanda tanya."

Saya terdiam sejenak. Walaupun soalannya kelihatan mudah, namun jawapannya perlukan hujah yang konkrit untuk dijadikan sandaran. Saya meminta untuk diberikan tempoh untuk menjawap soalan tersebut. Dalam masa yang sama, saya turut meminta pelajar untuk mencarinya di rumah.

Website ini http://ms.harunyahya.com di bawah tajuk satu pembohongan sejarah sedikit sebanyak membantu saya memberikan idea untuk dijadikan sebagai hujah. Bagaimana bijaknya manusia pasti ada yang MAHA BIJAK daripada segalanya. Menurut penulis, zaman prasejarah mungkin tidak pernah wujud dan diada-adakan oleh golongan evolusi.

 Masih ingat dengan teori Darwin? Teori yang mendakwa manusia berasal daripada beruk dan mengalami transformasi dari satu tahap ke tahap yang lain sehingga menghasilkan manusia moden yang dikenali sebagai Homo Sapien. Menurut penulis lagi, kepalsuan yang diadakan oleh para evolusionis ini adalah untuk menafikan akan kewujudan TUHAN. Nauzubillah. Mana mungkin alam dan semua makhluk yang ada di bumi ini terjadi dengan sendirinya tanpa ada pencipta!

Namun, walau apa jua perkara yang dibentangkan kepada kita, sebagai Islam kita perlu  menguatkan iktikad dan kepercayaan bahawasanya manusia berasal dari keturunan Nabi Adam. Kemudian keturunan inilah yang berkembang biak dan bertebaran di serata  pelusuk bumi.

Malahan  menurut Harun Yahya,  penemuan arkeologi juga menunjukkan bahawa sejak permulaan sejarah manusia, telah ada titik-titik di mana masyarakat yang bertamadun hidup bersama dengan komuniti yang mundur. Hakikatnya pada kebanyakkan masa,masyarakat yang kaya dengan budaya telah wujud bersama dengan mereka yang terkebelakang. Contohnya pada hari ini jika di Malaysia, corak kehidupan orang melayu jauh lebih maju berbanding orang asli khususnya dalam aspek gaya hidup. Saya tinggalkan anda dengan sebuah video. Semoga kita dapat bersama memikirkannya.  Wallahualam