Monday, August 30, 2010

Mencari kebahagian dan Hari yang Indah

life too short



Hujan lebat di Tanjung Malim. Payung peniaga di bazar ramadhan Kolej Za'ba banyak yang tumbang dan terbang. Mungkin angin kuat sebentar tadi. Jam menunjukkan 3.00 petang. Sebentar lagi mahu ke Kampus untuk menyelesaikan urusan dengan angah Bnc. Perjalanan agak terbatas dek kerana hujan yang turun. Stokin kaki sudah basah tapi perjalanan mesti diteruskan. Alhamdulillah hari ini saya tidak keseorangan kerana ditemani oleh Rosca dan Sam. Rasa agak selamat sedikit. Tempias hujan mengenai kami walaupun berpayung.


Rezeki kami, dan Allah memudahkan perjalanan. Setiba di Foyer KAB, bas sudah sedia menanti untuk membawa pelajar ke Kampus. Tetapi Pemandu bas mengambil masa yang agak lama untuk memulakan perjalanan. Keadaan sangat membosankan. Saya mengeluarkan buku di dalam beg dan memulakan bacaan. Bas mula bergerak. Saya memulakan aktiviti membaca, dan terfikir untuk berkongsi cebisan ilmu ini di dalam blog. Tiada lagi kesedihan,kepiluan dan keresahan. Terima kasih buku "la tahzan"


10 perkara untuk meraih kebahagiaan :

1. Bangun menjelang fajar menyingsing dan beristghfar

2. Menyendiri untuk bertafakur
" dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi " surah Ali-Imran : 191

3. Menjalin hubungan dengan orang yang soleh.
" dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka " - surah Al-Kahfi : 28

4. berzikir
" wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah ) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan sebanyak-banyaknya " surah al-ahzab : 41

5. sembahyang dua rakaat dengan khusyuk

6. Membaca Al-Quran dengan penuh penghayatan.

7. Berpuasa pada hari yang sangat panas

8. Bersedekah secara sembunyi-sembunyi
" hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya. " ( Hadis Nabi)

9. Meringankan beban seorang Islam.
" Sesiapa yang meringakan kesusahan yang dialami oleh seseorang Islam di dunia maka Allah akan melepaskannya dari kesusahan pada hari akhirat " (Hadis Nabi)

10. Berlaku zuhud kepada sesuatu yang sifatnya fana
" Padahal kehidupan akhirat itu adalah lebih baik dan kekal " Surah al-a'la : 17.


Suatu malam yang tenang dan dingin, si sahabat datang bertandang ke bilik. Ingin menumpang tidur katanya. Hati rasa gembira kerana ada yang sudi menemani.

" Syuai, apa perkara baik yang telah kamu lakukan hari ini? " tanya si sahabat sebelum memejamkan mata.

Saya berfikir dan berbisik di dalam hati, mungkin mahu muhasabah diri agaknya. Saya pun menyatakan satu persatu.

Bertanya lagi si sahabat " perkara buruk pula? "

Saya jawab mungkin tidak memberikan senyuman pada orang lain. kata sahabat mulai hari esok sama-sama kita berusaha memperbaiki diri, banyakkan membuat kebaikan dan berusaha untuk tidak melakukan keburukan. Benar kata orang, nasihat sebelum tidur itu lebih mudah diterima. Contoh mudah seperti bed time story. Lazimnya anak-anak akan ingat apa yang dipesan oleh ibu atau bapa dan ternyata cara itu berkesan. Kalau tidak percaya anda boleh cuba. Lakukan pada adik, kawan ataupun anak. Terima Kasih Oh Tuhan kerana memberikan saya teman yang baik.




day41



Friday, August 20, 2010

Sendirian...lebih baik?

Sekarang jam tepat menunjukkan pukul 12.50 pagi. Mata mengantuk. Tapi bila memikirkan hati yang walang ni, mata yang layu celek semula. Teringat bait-bait lirik sebuah lagu


Hidup tidak selalunya indah
langit tak selalu cerah
Siang malam tak berbintang
ini lah lukisan alam

Begitulah lumrah perjalanan kehidupan manusia. Ada masa kita rasa gembira. Ada masa kita rasa bosan, sedih dan macam-macam perasaan muncul. Inilah yang dikatakan indahnya kehidupan.

Bersendirian
kadang aku rasa bersendirian itu lebih baik. Tak payah fikir tentang orang lain. Tak perlu risau dan ambil peduli tentang perasaan orang lain. Aku dengan duniaku. Tapi sampai bila aku boleh bertahan begitu. Betahkah aku duduk bersendirian berhadapi pelbagai cabaran tanpa bantuan orang lain? Mampu ke aku begitu? Tak kan hari-hari nak bercakap dengan diri sendiri? Semua masalah aku simpan sendiri dan tak perlu di canang pada orang lain?


Teman
Ada teman tidak semestinya dia memahami kita. Masalah kita. Perasaan kita. Teman ketawa senang dicari. Teman menangis bersama-sama? kalau ada pun satu antara beribu. Bila berteman banyak perasaan nak dijaga. Dalam masa yang sama perasaan sendiri pun perlu dijaga. Silap kata,salah bicara...tanggung sendiri. Mula tak bertegur sapa, muka masam mencuka. Masing-masing dengan hal sendiri. Kau adalah engkau. Aku adalah aku. Sedangkan perkara yang diselisihkan bukanlah sebesar dan seserius mana. Merajuk sebab tak ajak ke kelas bersama-sama. Kecil hati sebab tidak bertegur sapa dan macam-macamlah perkara remeh-temeh yang diperbesar-besarkan. Huh,penat dan letih nak menghadapinya.


Cinta.
Satu perasaan yang sukar nak diungkapkan dengan kata-kata. Kadang kala rasa bahagia. Kadang kala rasa sunyi ,walaupun hakikatnya cinta itu ada. Macam biskut pun ada jugak...kejap ada kejap tak ada. Kadang kala ianya hadir mewarnai hari-hari...cinta sahabat, cinta keluarga,cinta 'si dia '. Kadang kala cinta itu sepi seolah-olah hilang bersama angin. Tapi yang aku pasti,di kala aku kesunyian memang cinta daripadaNya sentiasa ada. DIA tahu aku sedih. DIA tahu aku gembira. Segala-galanya DIA tahu, kerana DIA Maha Mengetahui.


Sekiranya aku diberikan satu permintaan, aku berharap sangat dapat pergi ke sebuah tempat yang sangat mendamaikan. Tempat yang boleh menenangkan fikiran. Agak tidak logik kalau pagi-pagi buta ni aku dapat ke tempat sebegitu. Tapi, manalah tau permintaanku dikabulkan sewaktu di alam mimpi...amin moga diperkenankan. Ku cari damai di hati.




Ramadhan Karim



Alhamdulillah,ramadhan menjelma lagi. Bulan mulia yang sering dinanti-nantikan kehadirannya. Betapa ruginya andai kehadiran bulan yang mulia ini dibiarkan berlalu begitu sahaja.Kerana bersama-sama ramadhan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Salman menceritakan , Rasulullah s.a.w berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban yang bermaksud : " Wahai manusia, telah datang kepada kamu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang terdapat di dalamnya satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, hadis riwayat Ibn Khuzaimah. Ayuh kita sama-sama berusaha memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini. Semoga ianya menjadi titik tolak ke arah perubahan yang lebih positif. Juga perlu diingat, ibadah bukan sekadar dilakukan pada ramadhan sahaja bahkan molek kiranya ia berterusan ke bulan-bulan yang berikutnya. Wassalam

Thursday, August 5, 2010

Hati tikus



Seekor tikus yang bersahabat dengan seorang ahli sihir hidup dalam keadaan ketakutan di sebuah rumah besar. Apa tidaknya, dia sentiasa dikejar oleh seekor kucing besar peliharaan tuan rumah. Tidak tahan dengan penderitaannya, si tikus menemui ahli sihir.

" tolong ubah diriku menjadi seekor kucing yang lebih besar daripada kucing di rumah ini. Aku sudah tidak tahan lagi ".

Ahli sihir itu pun menukar si tikus menjadi seekor kucing seperti yang dipinta.

Setelah menjadi kucing besar, si tikus terus mengejar kucing yang mengejarnya dahulu. Kucing rumah lari lintang pukang dibuatnya. Si tikus berjalan dengan penuh rasa bangga. Rumah itu seolah-olah dikuasainya. Tidak lama kemudian,si tikus yang berubah menjadi kucing itu pun keluar daripada rumah. Dia ingin berjalan-jalan di halaman rumah hinggalah ke tepi jalan raya.

Sebaik tiba di tepi jalan, datang seekor anjing mengejarnya. Si tikus yang menjadi kucing itu terkejut dan kecut. Dia bertempiaran lari menyelamatkan diri.

"tolong, tolong aku wahai sahabatku tukang sihir. Ubahkan aku menjadi anjing garang yang lebih besae "

Tanp membuang masa, ahli sihir menggunakan kuasanya untuk menukar si tikus dari pada seekor kucing menjadi seekor anjing yang besar.

Sebaik menjadi anjing yang besar, si tikus terus melompat keluar ke halaman rumah dan dikejarnya anjing yang mengejarnya dahulu. Oleh kerana badanya lebih besar, anjing itu pun lari.Sekarang, si tikus yang menjelma menjadi anjing itu semakin bangga. Dia melompat, menyalak dan berlari-larian di tepi jalan hingga ke seberang jalan.


Rupa-rupanya di seberang jalan ada sekumpulan budak nakal. Melihat anjing menyalak dan melompat-lompat, mereka jadi marah. Dengan lastik yang ada di tangan, mereka melastik anjing itu. Batu-batu mengenai badan, kaki dan kepala si tikus. Ia sangat menyakitkan. Si tikus yang menjadi anjing besar itu lari menyelamatkan diri dan kembali menemui ahli sihir.

"tolong..tolong...matilah aku kali ini "

"Mengapa"

"aku dilastik budak-budak nakal. Tolong tukarkan aku menjadi...."

" Tak payah ! " pintas ahli sihir

" kenapa?" tanya tikus kehairanan

" aku boleh menukar engkau menjadi apa jua yang engkau minta. Tetapi semua itu tidak ada gunanya, selagi...."

"selagi apa? "

" selagi hatimu tetap hati tikus. Hati yang pengecut. "


Pengajaran :
perubahan itu hanya dapat dilakukan apabila hati telah berubah. contoh , ramai orang merasakan mereka boleh menjadi seorang pemurah apabila kaya. Tetapi setelah kaya, pelbagai alasan yang diberikan untuk tidak membantu orang lain. Hakikatnya orang kaya sekalipun kalau hatinya masih bakhil dia tidak akan membantu orang lain. Sifat pemurah bukan ditentukan oleh banyak atau sikitnya harta tetapi oleh hati yang pemurah. Oleh itu jangan menjadi seperti hati tikus...