Sunday, February 20, 2011

Kawan oh Kawan




" Bila orang telah merasa dirinya besar, Dia lupa akan salahnya. Hanya sahabat yang setia sanggup membukakan matanya." (Hamka)

Sahabat, teman, kawan, atau apa sahaja gelaran, zahirnya merujuk pada perkara yang sama. Namun setiap satunya membawa maksud yang berbeza. Kata orang, kawan itu cerminan peribadi. Dengan siapa kita berkawan, secara tidak langsung melambangkan siapa diri kita yang sebenarnya.Tidak dinafikan pengaruh individu yang bernama kawan ini sangat besar dalam kehidupan. Ianya turut mempengaruhi minat dan kecenderungan seseorang. Lagi-lagi mereka yang mempunyai sahabat karib.

"Berkawanlah dengan pembuat minyak wangi, nescaya harumannya akan terkena bajumu juga. Jangan berkawan dengan si tukang besi (atau tukang pembuat pedang), percikan apinya akan terkena bajumu lalu boleh terbakar."

Setiap manusia bebas membuat pilihan dengan siapa dia hendak berkawan. Ya, pilihan itu di tangan kita. Mahu yang baik ataupun sebaliknya. Saya suka kata-kata di atas. Bahasanya mudah untuk ditafsirkan. Berkawanlah dengan pembuat minyak wangi(orang-orang yang baik) kerana pasti tempias kebaikannya itu akan mengenai kita. Orang kata,kawan yang baik itu skema sifatnya. Orang kelantan kata " juruh". Tidak up to date dan ketinggalan zaman.

Tapi, andai kita lebih suka berkawan dengan si penukang besi, fikir-fikirkan kesan baik buruknya. Mungkin untuk jangka masa pendek dia boleh buat kita gembira dan bahagia. Jangka masa panjang?

Saya berkesempatan melihat gambar sahabat-sahabat lama di Face book. Semua makin dewasa, matang dan mempunyai kerjaya sendiri. Namun saya agak terkejut dan terkilan dengan perubahan beberapa orang teman yang tidak seperti dahulu. Mungkinkah disebabkan oleh kejutan budaya atau faktor kawan itu sendiri? Moga masih ada ruang untuk kita sama-sama memperbaiki diri.

Doa ditetapkan hati dan pendirian



"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
(Ali-Imran : 8)








Saturday, February 12, 2011

Kenapa Cikgu Marah??




Hari ini Cikgu Siti ke sekolah dengan penuh semangat dan keazaman. Walaupun terpaksa berjalan kaki setiap hari, namun demi tekad untuk merealisasikan impian, dia terpaksa mengalah. Bak kata pepatah "Alah bisa tegal biasa".

Sesi pembelajaran berlangsung seperti biasa. Guru-guru sibuk dengan tugasan masing-masing. Bebanan kerja semakin hari, semakin bertambah. Telinganya lali dengan rungutan dan keluhan teman-teman. Apakan daya inilah tanggungjawab dan amanah yang perlu mereka pikul apabila bergelar guru.

Orang kata, jadi guru ini mudah. Cuma buang air liur sahaja, hujung bulan terima gaji. Tapi, adakah itu realitinya? Cikgu Siti hanya mampu tersenyum sambil bermonolog sendirian.

" Ehm...nak tau mudah ke susah, kenalah jadi cikgu dulu "

................................................................................................................................

Cikgu Siti pantas menuju ke kelas 4 Damar. Kuatir dirinya lewat tiba ke kelas. Sebaik sahaja melangkah masuk, puluhan mata tepat memandang ke arahnya. Kelas yang hingar-bingar tadi, menjadi sunyi seketika.

" Baik kelas, saya Cikgu Siti. Saya akan menggantikan Cikgu Muhamad hari ni. Jadi tolong buat kerja masing-masing dan jangan bising. "

10 minit berlalu dengan aman. Jiwanya berlagu riang. Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari

Dum...dam...dum..dam... Kah..kah..kah

Istighfar dilafazkan berulang-ulang kali. Hatinya memujuk supaya bersabar. Bunyi sumbang semakin kuat menerjah gegendang telinga. Jiwa mulai terbakar. Akalnya ligat berfikir, merangka strategi yang sesuai untuk berhadapan dengan situasi itu.
..............................................................................................................................

" Naren, tolong ke depan. Apa yang awak buat dekat belakang tu ? "

" Saya tak buat apa-apa cikgu, Lim kacau saya tadi ."

" Awak tak nampak ke saya dekat sini ? Langsung tak ada rasa hormat kan ! "


Hatinya tak mampu untuk bersabar lagi. Ditahan air mata yang ingin keluar. Nafsu amarah hebat menguasi diri.


" Saya bagi masa 10 minit, saya nak awak cerita tentang guru di hadapan kelas. No Excuse !! "

...................................................................................................................................................

" Cikgu suka marah orang. Saya pun tak tau kenapa cikgu asyik nak marah-marah je. Kalau nak tanya soalan banyak kali dia marah. Sikit-sikit marah."


Itu antara bait-bait kata yang diucapkan oleh Naren sebentar tadi. Persoalannya kenapa cikgu marah? Manusia dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai perasaan. Suka, sayang, benci dan marah.

Jawapan Cikgu Siti mudah. Dia mengajak semua pelajar berfikir bersama. Katanya,manusia tidak akan marah jika tidak bersebab. Tiada manusia yang diciptakan di dunia untuk memarahi orang setiap hari. Cikgu marah kerana merasakan tindakan yang dilakukan adalah sesuatu yang tidak betul. Hanya cikgu yang faham mengapa mereka marah. Tanya pada diri, apa yang kita lakukan sehingga membuatkan orang marah, dan bukan bertanya mengapa orang marah. Renung-renungkan, selamat beramal.