Alhamdulillah, syukur kerana masih lagi diberi peluang untuk terus bernafas.Kekangan masa sangat membataskan saya untuk menulis. Sekadar perkongsian, kini saya baru sahaja berpindah ke tempat baru. Cabaran hidup baru bermula. Ya, ujian yang sedikit ini membuatkan saya semakin tabah. Semoga terus diberi kekuatan dan kemampuan.
Derita sahabat baru
Mungkin perasaan ini sukar untuk saya gambarkan, kerana saya belum melaluinya. Berpisah dengan orang tersayang dengan kondisi kesihatan yang kurang memuaskan. Meninggalkan suami dan anak yang jauh daripada pandangan mata. Perkara ini terpaksa ditempuhi oleh sahabat baru saya. Tempoh perkenalan yang singkat belum membantu saya untuk mengenalinya dengan lebih mendalam. Saya akui agak kurang empati dengan masalah yang dihadapinya. Semoga dia terus tabah. Kata-kata sabar bukan semudah yang diungkapkan. Realitinya semua daripada kita mengetahui hakikat sabar, namun untuk menjadi seorang sabar itu perlukan mujahadah.Ya, mungkin situasi itu bakal saya tempuhi kelak.
Saya letih melihat sahabat saya berulang alik dari Utara ke Selatan tanah air. Setiap minggu! Kekuatan apakah yang kau miliki duhai sahabat? Berkorban untuk orang lain tetapi pengorbananmu tidak dihargai langsung. Semoga terus kuat dan cekal wahai sahabatku. Kami terima tempias penderitaanmu. Kata-kata yang kurang menyenangkan sering terngiang-ngiang di telinga kami menceritakan tentang dirimu.Firman Allah SWT bermaksud: “Allah tidak menguji seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah ayat 286) Allah tidak menguji seseorang hamba dengan ujian yang tidak mampu dipikulnya. Allah memilih dirimu kerana DIA tahu kau mampu melaluinya. Jangan pernah menyalahkan takdir.
Misteri
Hidup saya dan sahabat yang lain disulami misteri. Penyakit sahabat tadi menjangkit pada kami. Saban hari kami dihimpit dengan gangguan-gangguan aneh yang sukar dipercayai. Hikmah terbesar yang Allah beri, saya dan sahabat lain semakin berani. Kalau dulunya solat berasingan, tetapi kini solat berjemaah menjadi budaya rumah kami. Bacaan ayat-ayat Allah berkumandang setiap hari. Saya perhatikan, sahabat yang dulunya jauh dari Al-Quran mula menjinakkan diri dengan alunan ayat suci ini. Perbincangan perihal agama sering menjadi topik perbualan kami. Terima Kasih Ya Allah. Ujian yang kau berikan ini benar-benar menyedarkan kami tentang kekuasaanMU. Bersangka baik dengan apa yang berlaku menjadikan kita insan positif. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada
besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu
kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan
kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda
maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Riwayat Tirmizi)
TERIMA KASIH ALLAH
No comments:
Post a Comment