Wednesday, October 10, 2012

Peristiwa paling memalukan



Bismillah...

Bila mengenangkan peristiwa tersebut, bibir mula tersenyum sendirian. Kepala hanya mampu menggeleng. Kenapalah boleh salah masuk. Rasanya memang tempat yang betul.Peristiwa ini berlaku beberapa bulan yang lepas.

Imbas kembali...

Hari ini saya ke pekan untuk membeli beberapa jenis barang keperluan. Sudah lama rasanya tidak membeli-belah. Tambahan pula pergi berseorangan, memang membosankan. Tapi mengenangkan banyak urusan yang perlu diselesaikan, saya gagahkan juga kaki melangkah. Barang-barang yang ingin dibeli telah saya catatkan dalam sehelai kertas.

Tips membeli belah yang bijak, pastikan sebelum keluar rumah kita telah mencatat senarai barangan yang ingin dibeli beserta anggaran perbelanjaannya. Hal ini penting untuk mengelakkan diri daripada terlupa. Selain itu potensi untuk berbelanja secara berlebihan juga dapat dielakkan. Pastikan kita membeli barang yang penting sahaja.

Selesai membeli semua barang keperluan, saya bercadang ingin terus pulang ke rumah. Pergi ke pekan dengan menaiki bas memang menguji tahap kesabaran. Tempoh perjalanan dari pekan ke rumah mengambil masa lebih kurang 1 jam. Kalau dibilang dengan jari dalam tempoh 1 jam banyak perkara yang boleh dilakukan.

Memikirkan jarak rumah yang jauh, saya memutuskan untuk bersolat di surau  berhampiran stesen bas. Tambahan pula  bas yang dinanti-nantikan tidak muncul-muncul tiba. Hati hanya mampu mengeluh. Huh!

                     " Riangnya hati, semua barang yang nak, semuanya dah beli ." Saya bermonolog sendirian.
 Kaki melangkah dengan laju untuk mengejar masa solat yang tinggal berbaki beberapa minit sahaja. Menjadi kebiasaan apabila ke pekan saya akan singgah ke surau.

Pintu surau dikuak pelahan-lahan. Tangan menolak daun pintu dengan lebih kuat. Saya memerhatikan sekeliling surau dan banyak persoalan muncul dibenak fikiran saya.
Busuknya, bau apa ni ?
Kenapa surau bersepah sangat hari ni?
Mana pergi semua orang? Selalunya surau ni ramai orang. 
Mana pulak, pergi telekung dekat sini ? Selalunya ada. Erm, mungkin ada orang ambik dan cuci kot. 

Saya  terus ke tempat wuduk dan mengambil air sembahyang. Solat saya lakukan tanpa sejadah dan telekung. Takbir diangkat dan salam diberi. Hati mengadu padaNya. Syukur ya Allah, kerana masih diberi peluang untuk menghirup udara yang kau pinjamkan ini.

Saya masih dilantai marmar sambil berzikir. Terdengar pintu surau dikuak. Saya menoleh ke belakang untuk mengetahui siapa yang masuk ke dalam surau. Saya melihat seorang lelaki masuk melulu, lantas membuka kasut. Saya terpinga-pinga. Lelaki itu juga terpinga-pinga


" Dik, ni surau lelaki. Surau perempuan dekat sebelah. "
" Eh, ye ke Pak Cik! Maaf la, saya ingat surau perempuan. Patut la saya rasa lain macam je. Malunya "

Saya bergegas keluar tanpa membuang masa. Mujurlah saya selesai menunaikan solat. Ya Allah tebalnya muka waktu itu. Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Pak Cik itu tergelak melihat kecuaian saya. Saya pulang dengan perasaan bercampur baur. Bila terkenang peristiwa tadi, saya senyum sendirian. Bagaimanalah saya boleh cuai sampai tidak sedar tersalah masuk surau lelaki.
 







No comments: