Sunday, April 21, 2013

Sejuk itu enak

 
Ais Krim Malaysia
 
 
Kecur air liur apabila melihat sebatang ais krim yang sejuk dan segar di depan mata. Nyum..nyum. Hari ini saya hendak kongsi tentang perniagaan kecil-kecilan yang saya jalankan bersama rakan-rakan. Keuntungan tidaklah banyak,  tetapi memadai dapat menampung perbelanjaan harian kami. Jadi duit gaji yang kami dapat, boleh disimpan sedikit.
 
 
Ais Krim Malaysia
 
Sebagai langkah permulaan, saya dan rakan-rakan cuba berjinak-jinak menjual benda yang mudah dan tidak memerlukan kos yang besar. Fikir punya fikir, idea pun datang dengan tiba-tiba. Ais Krim Malaysia sangat meninggalkan nostalgia dalam kehidupan kanak-kanak saya. Kalau dahulu, sebatang Ais Krim Malaysia dijual pada harga RM0.10. Kemudia meningkat kepada RM0.20. Kini harga sebatang Ais Krim RM0.30. Maklumlah taraf hidup rakyat Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari. Semua barangan naik harga.
 
 
Sasaran penjualan ais krim Malaysia kami sudah tentulah kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah. Antara  perisa ais krim yang kami sediakan terdiri daripada perisa milo, anggur, asam boi dan sarsi. InsyaAllah untuk masa akan datang, kami bercadang untuk menambah beberapa perisa lain agar lebih bervariasi. Syukur Alhamdulillah, hari pertama perniagaan mencatatkan untungan. Semangat untuk meneruskan perniagaan semakin berkobar-kobar.
 
 
Perniagaan lain
 
Selain berniaga secara kecil-kecilan, pada masa akan kami telah merancang untuk menceburi bidang penjualan pakaian. Pendapatannya lebih berbaloi berbanding sekarang. InsyaAllah semua itu masih dalam perancangan. Semoga usaha-usaha kami ini mendapat sokongan daripada semua pihak. Saya sangat kagum dengan usahawan-usahawan Malaysia yang cemerlang dalam perniagaan mereka. Kadang kala saya berfikir sejenak, bagaimana mereka mampu meraih kejayaan sehingga ke tahap tersebut ?
 
Dalam hadis Nabi ada menyebut bahawa perniagaan adalah punca rezeki yang baik. 9/10 datangnya daripada perniagaan. Bakinya adalah dari sumber pencarian yang lain. Malah perniagaan merupakan sunnah yang dilakukan oleh Baginda sendiri. Memang tidak dapat dinafikan, tujuan perniagaan itu adalah untuk memperolehi keuntungan. Namun dalam sibuk kita menjana keuntungan, pastikan barangan yang ingin diniagakan itu berkualiti setimpal  dengan harganya. Mencari rezeki biar berkat dan beroleh pahala. InsyaAllah.
 


Monday, April 15, 2013

Cara memasak rumpai laut



Alhamdulillah syukur, masih diberi peluang untuk terus bernafas, menghirup udara yang segar. Kali ini saya nak post tentang cara-cara penyediaan rumpai laut. Saya yakin pasti ramai yang tidak tahu bagaimana hendak memasaknya.

Langkah-langkah

1. Basuh rumpai laut sebanyak 2/3 kali basuhan seperti membasuh beras

2. Rendam rumpai laut selama semalaman.

3. Selepas rendam, basuh semula rumpai laut tersebut bersama-sama dengan asam keping

* Rumpai laut berbau hanyir, jadi ia perlu dibasuh sebersih-bersihnya.

4. Masukkan rumpai laut ke dalam bekas, dan boleh dimasak. Cara memasak rumpai laut adalah seperti memasak agar-agar. Kita perlu bijak menganggarkan sukatan air. Jangan meletakkan kuantiti air yang terlalu banyak kerana ia boleh menyebabkan rumpai laut tidak akan menjadi keras apabila selesai dimasak. Tips  mudah yang selalu saya gunakan, kuantiti air mesti sama dengan kuantiti rumpai laut.

5. Rumpai laut boleh dimasak bersama dengan daun pandan untuk mengurangkan bau hanyir yang terdapat pada rumpai laut

6. Masukkan sedikit garam dan gula (mengikut selera masing-masing)

7. Campurkan sedikit perisa untuk menyedapkan lagi rumpai laut anda. Contohnya pati sunquick.

Selamat mencuba.

Friday, April 12, 2013

Rumpai laut

Saya percaya ramai daripada kita yang sudah mengenali apa itu rumpai laut. Rumpai laut mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dua tahun kebelakangan ini. Saya difahamkan rumpai laut ini mengandungi banyak kolegen yang mana ia baik untuk kesihatan kulit manusia. Namun tiada kajian sainstifik dijalankan untuk memastikan kesahihan maklumat ini.

Adat wanita, apabila mengetahui sesuatu bahan itu baik untuk kecantikan pasti akan timbul perasaan untuk mencuba. Tidak terkecuali saya. Harga pasaran rumpai laut mengikut pemerhatian saya, purata sekitar 100gram RM 20 - 30. Harga yang agak tinggi untuk pasaran Semenanjung Malaysia. Jom, tengok beberapa keping gambar yang sempat saya tangkap sewaktu proses penyediaan rumpai laut.


 
Rumpai laut warna ungu yang perlu direndam semalaman. Langkah penyediaannya
seperti memasak agar-agar. Walaupun nampak mudah, pastikan kita menggunakan
sukatan air yang tepat.
 
 
 
Inilah hasilnya. Rumpai laut yang telah dimasak. Rumpai laut ini boleh disimpan di dalam bekas yang besar atau bekas kecil seperti bekas dadih. Alhamdulillah setelah mencuba
untuk kali yang ketiga, akhirnya menjadi juga agar-agar rumpai laut saya.
 
 
Bau rumpai laut agak hanyir dan perlu dibasuh beberapa kali. Terdapat beberapa kaedah untuk menghilangan bau hanyir rumpai laut antaranya dengan memasaknya bersama daun pandan. Selain itu, alternatif lain adalah dengan membasuhnya bersama asam keping. Anda juga boleh memakan rumpai laut bersama-sama dengan pati " sunquick". Selamat mencuba :)