Friday, April 1, 2011

Anugerah dari kegagalan


Jumaat,1 April 2011


Syukur padaNya, hari ini permulaan dan pengakhiran yang baik buatku. Pengajaran di kelas juga berjalan dengan lancar. Manusia hanya mampu merancang. Namun yang menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang adalah DIA. Apa yang penting, perlu ada usaha dan penyerahan kepadaNya yang disebut sebagai tawakal.


Saya dikejutkan dengan kedatangan penyelia di sekolah. Kehadirannya tanpa diduga. Walaupun berat di hati, namun terpaksa merelakannya. Saya hairan, lazimnya beliau akan memaklumkan kedatangnya melalui kkhidmat pesanan ringkas. Paling tidak pun, beliau akan membuat panggilan rindu. Sebagai tanda giliran mengutip buah jambu sudah tiba. Tapi, hari ini...segalanya berlaku sekelip mata Kelihatan sepasang merpati sedang bergurau senda di bilik guru. Si betina cukup saya kenali, manakala si jantan samar-samar rupa parasnya. Kaki perlahan-lahan menghampiri. Wajah yang bersahaja bertukar rupa.


" Eh, Dr. Suppiah... " dengan riak wajah yang terkejut.

"Kenapa tak bagitau nak datang? Selalu sms." Kataku bermonolog sendirian.


" Kenapa saya nak bagitau kamu saya datang? " Hari ni saya observe kawan kamu saja "


Lega rasa hati. Persidangan di adakan di bilik guru. Aku ditemani beberapa orang teman tekun mendengar teguran daripada beliau.


Bla..bla...bla....


Nasihat yang diselingi dengan jenaka. Langsung tidak membosankan. Apatah lagi sikap penyelia yang mesra rakyat membuatkan kami bagai terpaku dengan kata-katanya. Memang dia seorang yang hebat. Kaya dengan pengalaman, fasih berbahasa melayu dan pandai kecek klate.


Sedang tekun melayan perasaan. Si teman yang dinilai diam membisu. Wajah bertukar warna. Diseka air matanya,lalu pantas bangun meninggalkan kami. Semua terkesima dengan tindakan luar jangkaan si sahabat. Meninggalkan penyelia begitu sahaja.


..................................................................................................................................


Anda boleh fikir,mengapa si teman meninggalkan kami begitu sahaja? Pasti anda ada jawapannya. Ya,kerana dia merasakan bahawa dia telah gagal pada waktu itu. Saya termenung,dan berfikir sejenak. Adakah tindakan yang dilakukan oleh si teman itu wajar dan tepat ?


Setiap daripada kita pasti pernah merasai kegagalan. Gagal dalam ujian, peperiksaan, temuduga, pertandingan dan paling besar adalah apabila gagal dalam kehidupan. Orang yang bijak adalah orang yang menyedari kelemahan diri dan berusaha untuk memperbaikinya. Orang yang bodoh adalah orang yang mengetahui kelemahan diri namun tidak mahu mengakui dan tidak mahu melakukan perubahan. Dalam erti kata yang lain, tidak belajar melalui pengalaman.


Sahabat, kamu perlu sedar bahawa langkahmu masih jauh dan panjang. Jangan engkau mengalah dek ujian kecil yang Allah bagi kepadaMu. Jika dirimu mengatakan kau belum bersedia, aku juga begitu. Situasi kita adalah sama. Kerana aku tahu engkau dan aku tiada bezanya. Mengapa aku mampu menerima teguran dan kritikan tempoh hari tanpa mengeluh walau sepatah. Tapi...kau.... cepat benar hatimu tersentuh dan putus asa. Bangun la...bangun la...


Saya bersyukur ditempatkan di sebelah guru cemerlang. Telah berkhidmat selama 30 tahun dan baru 2 tahun yang lepas,beliau mendapat gelaran tersebut. Suatu tempoh yang agak panjang. Dugaan untuk merealsasikannya datang silih berganti. Katanya,dia puas dengan apa yang dimiliki. Suatu penghargaan buat dirinya setelah bersusah payah selama ini.


Sahabat, untuk menjadi guru yang baik bukan boleh sehari dua, mungkin mengambil beberapa tahun atau puluhan tahun. Mindamu perlu diubah settingnya untuk lebih rasional dan positif. Adat orang belajar,pasti akan melakukan kesalahan. Jangan kerana engkau tidak bersedia,lantas menyalahkan penyelia kerana tidak memaklumkan kedatangnya kepadamu. Tidak bertempat marahmu itu. Ingat, Marah itu sahabat syaitan. Menurut Ralph Waldo Emerson, dari setiap minit yang kita gunakan untuk marah, kita akan kehilangan 60 detik kebahagiaan.


Bangkitlah daripada kegagalan. Lakukan perubahan. Setiap daripada kita ada kelebihan. Positifkan diri dengan menganggap ujian ini sebagai proses pembelajaran. Belajar untuk menjadi guru yang terbaik. Walaupun bukan untuk masa yang terdekat tapi sekurang-kurangnya untuk masa akan datang.


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka menggubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri " (surah ar-Rad :11)


Ujian dan dugaan yang mendatang tidak kira masa dan siapa sudah pasti tersembunyi segala hikmah yang membuatkan kita semakin kuat. Setelah kita penat untuk memiliki kebaikan dan kejayaan,sebagai umat Islam yang menyakini kekuasaanNya,kita disarankan untuk berdoa memohon agar diperkenankan. Ini kerana Allah SWT sentiasa mendengar rintihan hamba-hambanya. Sekian...




No comments: