Assalamualaikum ustaz, minta komen
sedikit berkenaan gambar yang ana postkan di wall ustaz, mengikut kata si
folan, nabi Nuh [a.s] dan nabi Lut [a.s] pun dayus kerana mereka gagal dalam
mentarbiah isteri masing-masing
Jawapan:-
Perlu diingat bahawa bukan sahaja
kepada Nabi Muhammad [s.a.w] kita tidak boleh melemparkan tuduhan-tuduhan yang
jahat, tetapi juga terhadap seluruh Nabi-Nabi yang lain juga, termasuklah Nabi
Nuh dan Nabi Lut [a.s]; sebaliknya kita wajib menjaga kemuliaan semua
nabi-nabi, termasuklah kedua-dua nabi yang telah disebutkan.
Tuduhan dayus adalah suatu tuduhan
yang berat kerana para ulama telah sepakat meng`kategori’kan dayus sebagai dosa
besar kerana si dayus akan mendapat laknat dan tidak mencium bau syurga.
Oleh sebab itu maka, kita mesti
memahami makna dayus dalam etika yang sebenar, sebelum menuduh seseorang itu
dayus tanpa mengira siapa pun dia.
Di antara makna `dayus’ menurut para
ulama adalah seperti berikut:-
هو
الذي لا يغار على أهله
Ertinya: “Seseorang yang tidak ada
perasaan cemburu [kerana iman] terhadap ahlinya [isteri dan anak-anaknya]
[An-Nihayah, 2/147; Lisan al-Arab, 2/150]
Imam al-‘Aini pula berkata: “Cemburu
lawannya dayus” [Umdatul Qari, 18/228]
Berkata pula an-Nuhas:
قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته
وغيرها من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم
Ertinya: Cemburu [iaitu lawan kepada
dayus] adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari
ditemui dan dilihat [auratnya] oleh lelaki bukan mahram.” [Tuhfatul Ahwazi,
9/357]
Disebut dalam kitab Faidhul Qadir:
فكأن
الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره
Ertinya: Seolah-olah ta’rif dayus
itu membawa erti kehinaan [kepada si lelaki] sehingga apabila ia melihat
kemungkaran [dilakukan] oleh isteri dan ahli keluarganya ia tidak
mengubahnya.” [Faidhul Qadir, 3/327]
Imam az-Zahabi pula berkata:-
فمن
كان يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته فيها فهو دون من يعرس عليها ولا خير فيمن لا
غيرة فيه
Ertinya: Dayus adalah sesiapa yang
menyangka [atau mendapat tanda] bahawa isterinya melakukan perkara keji
[seperti zina] maka ia mengabaikannya kerana `cinta’nya kepada isterinya, maka
tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan [yang diperlukan oleh
Islam] dalam dirinya.” [Al-Kabair, 1/62]
Sekian salinan makna `dayus’.
Namun, berkenaan dengan isteri Nabi
Lut dan Nuh [a.s] pula para ulama tafsir telah sepakat mengatakan bahawa
pengkhianatan mereka berdua (isteri Nuh dan Lut [a.s]) itu sebagaimana ada
disebut di dalam ayat 10, surah at-Tahrim adalah kerana mereka tidak mahu
membantu dan menyokong perjuangan suami mereka.
Khianat mereka itu bukanlah kerana
mereka pernah berbuat zina atau seumamanya.
Ibnu Abbas mengatakan; “Tidaklah
pernah berbuat serong akan seorang isteri nabi jua pun.”
Al-Qusyairi mengatakan bahawa ahli
tafsir ijma’ artinya sama pendapatnya bahawa tafsir khianat di dalam ayat 10,
surah at-Tahrim ni bukanlah dalam hal zina.
Di sini, diberikan contoh-contoh
sebagai garis panduan di dalam mengukur dan meletakkan seseorang suami atau ayah
itu, terutamanya diri kita sendiri sebagai dayus menurut ustaz Zahiruddin;
1) Membiarkan kecantikan
aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain.
2) Membiarkan aurat
isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain).
3) Membiarkan anak
perempuannya ber’dating’ dengan tunangnya atau teman lelaki bukan
mahramnya.
4) Membiarkan anak perempuan
berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa ‘spoting’
yang memahami.
5) Menyuruh, mengarahkan dan
berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di
luar rumah.
6) Membiarkan isterinya atau
anaknya berpelukan atau bersentuhan dengan lelaki lain.
7) Membiarkan isteri kerja
dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.
8) Membiarkan isteri
disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf
oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.
9) Membiarkan isteri kerap
berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.
Dan banyak lagi contoh-contoh yang
lain.
Kedayusan-kedayusan ini hanya akan
sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya
secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami
tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit ‘dayus’ kepada dirinya.
Beranikah kita, melatakkan Nabi Nuh
dan Nabi Hud [a.s] di dalam situasi-situai di atas? Wal iyazu billah…
Wallahu a’lam…
Sekian dari saya, Hishamuddin Abdul
Aziz yang sentiasa mengharap didoakan mencapai keampunan dan redha Allah…