Tahukah anda disebalik peristiwa Ambon? Pernahkah anda mendengar atau mengetahui akan kewujudan wilayah ini? Ambon meninggalkan seribu kenangan berdarah kepada warganya. Sedang leka mencari bahan berkaitan konsep negara bangsa di Indonesia, saya tertarik untuk berkongsi sedikit berkaitan peristiwa Ambon. semoga ianya menjadi iktibar dan pedoman agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali.
Penubuhan sebuah Negara Bangsa bukan semudah yang dicanang-canangkan. Malaysia giat mempromosikan 1 Malaysianya. Ya, pujian wajar diberikan kerana ia usaha yang positif. Namun dalam keadaan hari ini, kita lihat sesama muslim masih menebal semangat kepuakan dan kenegerian, mampukah matlamat itu direalisasikan? Fikir-fikirkanlah. Andai sesama muslim masih bercakaran, berusaha menonjolkan ideologi masing-masing, mampukah kita bersatu? Realiti atau fantasi. Syukur, di Malaysia walaupun keadaannya begini namun tidak seteruk yang dialami oleh negara jiran kita, Indonesia.
Kita sering diberitahu oleh guru bahawa Indonesia merupakan sebuah negara bangsa.Penduduk Indonesia berbangga dengan identiti Indonesianya. Cukup sekadar mendengar namanya sahaja, kita sudah mengetahui bahawa dia seorang Indonesia. Sama ada dia seorang Cina mahupun Melayu. Budaya minoriti telah berjaya diasimilasikan mengikut budaya masyarakat setempat. Pelaksanaan Negara Bangsa menuntut banyak pengorbanan, tidak terkecuali pengorbanan jiwa. Indonesia didiami oleh majoriti penganut agama Islam dan Kristian. Tulisan ini bukan mahu menyentuh akan sensitiviti mana-mana agama, akan tetapi mari kita bersama-sama mengambil ibrah daripada peristiwa ini.
Ambon
Pulau Ambon terletak di Kepulauan Maluku. Majoriti penduduk menganut agama Islam dan Kristian. Detik berdarah bermula pada tanggal 19 Januari 1999. Seorang lelaki yang sedang menunggang basikal, telah terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah bas.Penunggang basikal itu cedera akibat daripada kemalangan tersebut. Ekoran daripada itu, berita tentang kemalangan tadi telah merebak dengan meluas kerana kebetulan penunggang basikal yang cedera itu seorang muslim manakala pemandu bas pula seorang Kristian.
Berita itu kemudiannya disebarkan bersama fitnah, adu domba serta dendam kesumat, hingga ke seluruh pulau di Maluku. Akibatnya, mulai hari berlakunya kemalangan tadi, Ambon kemudiannya bermandi darah. Pada Februari 2002, iaitu empat tahun kemudiannya, apabila perdamaian secara rasmi dimeterai oleh kerajaan Indonesia dengan pihak-pihak yang bertelagah, dilaporkan lebih 5,000 nyawa terkorban, puluhan ribu cedera manakala 750,000 orang lagi lari meninggalkan ibu kota kepulauan Maluku itu.
Kediaman rosak akibat pergolakan
Selain itu, beratus-ratus rumah ibadat, terutamanya masjid dan gereja dimusnahkan dan dibakar. Antaranya, termasuklah yang dibakar bersama-sama penduduk yang berlindung nyawa di dalamnya! Carilah fakta-fakta tentang tragedi ini, anda akan menemui pelbagai kejadian mengerikan.
Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang). Silaturrahim merupakan suatu ikatan yang suci yang menuntut kita sebagai umat Islam sentiasa menjaganya malah seseorang itu tidak dikatakan beriman selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.
Agama merupakan suatu perkara yang sangat sensitif untuk dibicarakan. Saya memiliki sahabat yang kuat berpegang dengan ajaran Katoliknya dan kami sangat rapat. Prinsip hubungan kami adalah mudah, kamu hormati agama saya, saya hormati agama kamu. Tiada ajaran agama yang berkehendakan kita untuk saling bermusuhan. Semoga peristiwa Ambon jadi iktibar buat kita yang bergelar manusia.
No comments:
Post a Comment