Tuesday, November 30, 2010

Sistem Kepercayaan katolik part 1

a) KONSEP TRINITY (tiga keTuhanan)

Penganut mazhab kristian katolik percaya kepada konsep trinity atau juga disebut sebagai tiga konsep keTuhanan yang terdiri daripada Tuhan Anak, Tuhan Bapa dan Roh Qudus. Ketiga-ketiganya adalah Allah. Kesemuanya adalah Maha suci, Maha sempurna, Maha mengetahui Maha kuasa dan kekal abadi. Oleh kerana itu ketiga-tiga ini disembah melalui cara yang sama.

Walaupun terdiri daripada tiga Tuhan, namun begitu hanya satu Tuhan( Allah ) yang mewakili satu pengetahuan Ilahi, satu kehendak Ilahi, satu kehidupan Ilahi dan ia disebut sebagai tritunggal yang maha suci. Konsep ini jika diteliti turut diguna pakai dalam agama Hindu dalam konsep trimurti yang mana Tuhan itu boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan mempunyai peranan yang tertentu, Siva (dewa pemusnah), Brahman(dewa pencipta) dan Vishnu (dewa pelindung). Menurut Prof. Dr Ahmad Shalaby, pada hakikatnya kemunculan kepercayaan tiga keTuhanan ini adalah diambil dari kebudayaan-kebudayaan yang terdapat disekeliling mereka.

Kebudayaan-kebudayaan itu kemudiaannya mempengaruhi ajaran Agama Kristian dan dipindahkan menjadi ibadah penyembahan tiga yang suci. Adalah menjadi kemungkinan amalan penyembahan tiga Tuhan dalam konsep trinity ini diambil daripada amalan agama yang lain. Orang kristian khususnya penganut Proteston mempercayai “trinity” dengan berbagai-bagai teori atau hujahnya. Akan tetapi orang kristian katolik beranggapan bahawa akidah trinity merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada sifat keTuhanan.

Menurut konsep trinity ini, mereka percaya bahawa Tuhan atau juga disebut dengan nama Allah, telah menciptakan seluruh alam maya ini. Allah Taala melihat begitu banyak perbuatan dosa yang dilakukan oleh manusia. Oleh yang demikian, Allah telah meniupkan Roh Qudus kepada Maria atau Mariam untuk melahirkan Isa yang juga disebut sebagai Yesus Kristus oleh orang Kristian ke dunia. Katolik percaya bahawa Roh Qudus dipancarkan oleh Bapa dan Anak ( Allah dan Yesus Kristus ) secara bersama-sama. Allah menurunkan Isa atau dalam konsep trinity ini disebut sebagai Tuhan Anak adalah bertujuan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar dan menghindarkan mereka daripada terjerumus ke dalam neraka.

Isa memainkan peranan sebagai perantara antara manusia di bumi dengan Tuhan Bapa (Allah Taala). Setelah Isa wafat akibat disalib, dia kemudiannya diangkat naik ke syurga duduk di sisi Allah iaitu Tuhan Bapa.Mereka percaya bahawa Isa memberikan Roh Qudus untuk menghiburkan mereka sehingga akhir zaman sebelum Isa kembali ke dunia untuk menghakimi mereka. Jadi, menurut konsep trinity ini, Allah itu merupakan pencipta, Allah juga yang menyelamatkan manusia melalui perantaraan Isa yang turun ke bumi dan Allah yang menghiburkan di dalam Roh Qudus.



No comments: