Monday, March 1, 2010

ISLAM DARI SEMENANJUNG TANAH ARAB
Walaupun sebahagian besar orientalis barat dan sarjana barat meminggirkan peranan penting yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses membawa pengislaman orang Melayu, namun terdapat juga beberapa orang dalam kalangan mereka yang secara jujur mengakui hakikat bahawa “ faktor Arab” dalam proses tersebut. Antaranya ialah seperti John Crawford, William Marsden dan De Hollander. Akan tetapi, dari perspektif tempatan pula berpendapat bahawa terdapat bukti yang kukuh menunjukkan bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini datangnya terus dari Semenanjung Tanah Arab dan bukannya India seperti yang diwar-warkan oleh orientalis barat.
Sejarawan tempatan mengemukan hujah-hujah mereka dengan mengetengahkan bukti-bukti seperti karya-karya sastera melayu tradisional seperti Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu. Di dalam kedua-dua sumber sastera melayu ini terdapat huraian jelas yang menunjukkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses pengislaman orang Melayu. Contohnya dalam Hikayat Raja-raja Pasai yang menceritakan tentang kisah pengasas kerajaan Pasai iaitu Merah Silu yang dikatakan telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W, diislamkan dan dikenali sebagai Sultan Malikul Salleh. Contoh lain yang dapat dilihat adalah dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan tentang peristiwa seorang pendakwah Arab yang bernama Syeikh Abdullah Al-Yamani yang dikatakan datang terus dari Semenanjung Tanah Arab. Beliau ini berperanan dalam menukar agama Sultan Kedah kepada agama Islam dan baginda kemudiannya dikenali sebagai Sultan Muzaffar Syah. Justeru, adalah menjadi kemungkinan bahawa pertapakkan Islam di Tanah Melayu diperolehi terus secara langsung melalui pedagang-pedagang Arab yang datang ke Tanah Melayu.

No comments: