Wednesday, March 10, 2010

Pergaulan lelaki dan Perempuan

Assalamualaikum warahmatullah....

Pergaulan Lelaki & Perempuan

Oleh: Dr Yusuf al-Qardawi, jilid 5 & 6, Fatwa Masa Kini

Pertemuan antara lelaki dan perempuan pada zatnya tidaklah haram. Sebaliknya ia merupakan perkara yang dituntut sekiranya niat daripada pertemuan itu ialah untuk bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik. Antaranya ialah untuk menuntut ilmu, bekerjasama dalam menjayakan program-program yang baik, jihad yang dituntut atau apa sahaja kerja yang memerlukan gembelengan tenaga daripada lelaki dan perempuan, sama ada ketika merancang ataupun di peringkat perlaksanaan. Tetapi ini tidaklah bermakna bahawa semuanya itu memberi ruang kebebasan kepada kedua golongan itu untuk membelakangi batasan ataupun melupakan had yang telah ditentukan oleh syarak pada setiap pertemuan yang berlaku di antara kedua belah pihak. Tiada siapapun boleh mendakwa bahawa mereka adalah malaikat yang terpelihara dan tidak perlu dibimbangkan terhadap diri mereka. Mereka sebenarnya mahu menjadikan kita seperti masyarakat barat.

Kerjasama yang dijalin perlulah sentiasa berada di dalam lingkungan batasan yang telah digariskan Islam. Antaranya ialah:-
1. Kedua-dua belah pihak hendaklah menjaga pandangan, jangan melihat pada aurat, jangan memandang dengan penuh nafsu atau memandang dengan pandangan yang lama tanpa ada keperluan.
Firman Allah: Maksudnya: " Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada melihat yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada melihat yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…" (Surah An-Nuur:30,31)
2. Wanita hendaklah memakai pakaian yang digariskan oleh syarak, iaitu yang menutupi seluruh anggota badannya melainkan muka dan dua tapak tangannya sahaja. Pakaiannya juga hendaklah tidak nipis dan tidak menampakkan bentuk tubuh badan. Maksudnya: "…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…" (Surah An-Nuur: 31) Perkara ini adalah berdasarkan kepada tafsiran yang dibuat oleh beberapa orang sahabat mengenai maksud `apa yang lahir daripadanya' ialah muka dan dua tapak tangan. Di antara hikmat berpakaian sedemikian ialah seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya; Maksudnya:"…cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak akan diganggu…". (Al-Ahzaab: 59) Iaitu bahawa dengan pakaian yang menutup aurat inilah kita dapat membezakan di antara wanita merdeka yang memelihara kehormatannya dengan wanita yang jalang. Wanita yang berpakaian sedemikian akan terselamat daripada gangguan, kerana pakaiannya yang begitu di samping akhlaknya yang baik menyebabkan orang yang melihat akan menghormatinya.

3. Memelihara adab sebagai seorang wanita Islam terutamanya ketika berurusan dengan lelaki:
a. Ketika bercakap: Pastikan ia jauh daripada sebarang nada yang menggoda atau memberahikan. Firman Allah; Maksudnya: " Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan dalam hati orang yang ada penyakit (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)." (Al-Ahzaab: 32)
b. Ketika berjalan: Berjalanlah dengan sopan dan penuh tertib sebagaiman firman Allah: Maksudnya: "… dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka…" (An-Nuur:31) Dia hendaklah berjalan sebagaimana yang disifakan oleh Allah s.w.t: Maksudnya:"Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu…" (Al-Qasas:25)
c. Ketika melakukan gerakan: Elakkan daripada melakukan gerakan yang manja, seksi, menggoncang-goncangkan badan dan seumpamanya seperti yang disebut di dalam hadis sebagai al-mumailaat al-maa'ilaat (menggoncang-goncangkan). Perkara ini termasuk dalam kategori mendedahkan aurat sebagaimana yang dilakukan oleh jahiliah dahulu dan jahiliah moden.


4. Menjauhkan daripada menggunakan sebarang perkara yang boleh menggoda seseorang serta membangkitkan ghairah nafsu syahwatnya seperti wangi-wangian dan sebarang `make-up' (alat solek) yang berwarna-warni yang sepatutnya hanya digunakan di rumah sahaja, bukan untuk keluar rumah dan tidak juga ketika untuk bertemu dengan kaum lelaki.
5. Jauhkan diri daripada duduk bersunyi-sunyian antara lelaki dan perempuan tanpa ada bersama muhrimnya. Banyak hadis-hadis yang sahih melarang keras perbuatan tersebut dengan sabdanya yang bermaksud;"…kerana sesungguhnya pihak yang ketiga tidak lain dan tidak bukan adalah syaitan." Oleh yang demikian adalah tidak wajar kita membiarkan kayu api duduk hampir dengan api yang sedang marak menyala. Lebih-lebih lagi jika bersunyi-sunyian itu adalah dengan salah seorang kaum kerabat si suami. Ini jelas dalam suatu hadis: Maksudnya:"Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita." Sahabat pun bertanya:"Wahai Rasulullah! Bagaimana jika yang masuk itu adalah mertua? Lalu dijawab oleh Rasulullah: " Mertua adalah maut!" Makna maut disini ialah sebab kebinasaan kerana kadang–kadang mertua duduk dan berbual lama. Ini adalah suatu bahaya yang cukup besar.
6. Pertemuan hendaklah pada perkara yang benar-benar perlu sahaja ataupun pada urusan yang memang menuntut kedua-duanya untuk hadir bersama tanpa berlebih-lebih dan melampau. Dan yang paling penting, perkara ini hendaklah berlaku tanpa menjejaskan fitrah kewanitaannya atau menyebabkannya terdedah kepada kata-mengata atau menganggu tugasnya yang cukup mulia iaitu menjaga keluarga serta mendidik anak.








No comments: